KEADAAN terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil ketika proses gantian rumput zeon zoysia yang dijangka selesai pada hujung September. FOTO Bernama
KEADAAN terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil ketika proses gantian rumput zeon zoysia yang dijangka selesai pada hujung September. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) memberi jaminan bahawa konsert kumpulan rock terkemuka dari United Kingdom, Muse tidak akan menjejaskan proses penanaman rumput zeon zoysia.

Penanaman rumput berkenaan hanya akan dilakukan selepas konsert yang akan berlangsung hujung minggu ini selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi menjelaskan bahawa ketika ini permukaan padang SNBJ hanya dilindungi dengan 'pitch cover' dan pasir.

"Penganjuran konsert tidak jejaskan padang kerana sekarang memang tak ada rumput.

"Sistem paip dan semua urusan sudah selesai dan rumput hanya akan dipasang selepas konsert selesai dan dijangka dalam lima kontena akan masuk selepas ini," katanya pada sidang media malam penghargaan dan sambutan ulang tahun ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC) di sini malam tadi.

Faidz berkata, kontraktor yang akan memulakan kerja penanaman rumput bermula 1 Ogos ini, dijangka selesai dua minggu dan akan diserahkan kepada pihak pengurusan Perbadanan Stadium Nasional (PSM) pada hujung September.

Justeru tidak akan ada masalah SNBJ menganjurkan Pestabola Merdeka membabitkan India, Palestin dan Lubnan selaku pencabar utama skuad kendalian Kim Pan-gon di stadium keramat Harimau Malaya itu pada pertengahan Oktober ini.

Sementara itu, Pengerusi PSM Datuk Hans Isaac berkata, sekiranya semua mengikut perancangan, stadium akan diserahkan pada hujung September ini namun ia bergantung kepada maklum balas daripada kontraktor.

"Kontraktor yang akan menentukan waktu yang sesuai untuk padang digunakan proses penggantian rumput berjaya dilaksanakan," katanya.

Proses penanaman rumput zeon zoysia bermula sejak April lalu bagi menggantikan jenis Cow Grass dengan kos yang dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta dan ditaja oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

SNBJ sebelum ini pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park bermula 1998-2005, Marimo Seashore Paspalum bersama Zoysia Material (2005-2013) dan Bermuda Mountain Green bersama Princess (2013-2015).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 12:33 PM