MUELLER (kanan) mengawal bola ketika perlawanan menentang Copenhagen. FOTO AFP
MUELLER (kanan) mengawal bola ketika perlawanan menentang Copenhagen. FOTO AFP
Reuters

Copenhagen: Thomas Mueller masuk dari bangku simpanan untuk mengumpan kepada seorang lagi pemain gantian, Mathys Tel bagi memastikan Bayern Munich menang 2-1 ke atas Copenhagen pada perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Parken, awal pagi tadi.

Pada ketika pasukannya bergelut untuk mencipta peluang menentang juara Denmark itu, Mueller, 34, masuk pada minit ke-77 dan menggunakan pengalamannya untuk menembusi benteng dan mengumpan kepada Tel untuk gol penting, sekali gus memastikan tiga mata milik Bayern.

Bayern gagal mencipta peluang pada babak pertama apabila pertahanan kental Copenhagen mengekang kepantasan Kingsley Coman dan Leroy Sane di bahagian sayap pelawat.

Malah, pasukan tuan rumah berada di depan pada minit ke-56 menerusi pemain tengah, Lukas Lerager.

Bayern menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi rembatan padu Jamal Musiala.

Mueller yang membuat penampilan ke-144 di UCL mengumpan kepada Tel yang merembat gol penting pada minit ke-83, sekali gus menyaksikan Bayern menduduki tangga teratas kumpulan dengan enam mata.

Kapten Bayern, Joshua Kimmich menghargai kekuatan pasukannya apabila mereka meneruskan rekod tanpa kalah di tempat sendiri di peringkat kumpulan UCL kepada 18 perlawanan.

"Anda boleh lihat kami memiliki banyak kualiti di bangku simpanan dan kerap menyelamatkan kami musim ini dan di akhirnya, anda bukan hanya perlukan 11 pemain, tetapi beberapa orang lagi untuk memenangi perlawanan seperti malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 9:24 AM