MUSIALA (kanan) berjaya bantu Munich tumpaskan Leverkusen 4-0. FOTO AFP
MUSIALA (kanan) berjaya bantu Munich tumpaskan Leverkusen 4-0. FOTO AFP
AFP

Munich: Persembahan luar biasa Jamal Musiala, begitu juga dengan gol pertama Sadio Mane selepas lima perlawanan, membantu Bayern Munich menumpaskan Bayer Leverkusen 4-0 di laman sendiri.

Musiala berjaya meledak satu gol dan merencanakan dua lagi jaringan, menyaksikan dia mendapat sokongan padu penyokong ketika dikeluarkan pada minit ke-81.

Ditanya selepas perlawanan adakah kemenangan itu dapat mengurangkan tekanan pengurus, Julian Nagelsmann, Musiala berkata, tekanan adalah kepada mereka semua.

"Kami (pemain) fokus kepada diri sendiri. Kami semua mahu menang dan menjadi nombor satu. Kami sudah menunjukkannya hari ini.

"Tekanan tetap ada di Bayern. Kami harus bijak menanganinya," kata Musiala.

Bayern, yang gagal mencatat kemenangan empat kali berturut-turut, memperoleh jaringan awal apabila Musiala melakukan hantaran lintang rendah kepada Leroy Sane, sebelum pemain itu mencetak gol pada minit kedua.

Musiala selepas itu berjaya menjaringkan gol selepas 17 minit perlawanan berlangsung apabila bergabung sempurna bersama penyerang veteran, Thomas Mueller untuk memperoleh jaringan kelimanya musim ini.

Dia sekali lagi menjadi perencana jaringan pada minit ke-39 apabila menghantar bola kepada Mane yang meledak gol pertama sejak 21 Ogos, iaitu kemenangan terakhir Bayern di Bundesliga.

Mueller menambah gol keempat pada minit ke-84 apabila penjaga gol Leverkusen, Lukas Hradecky tergelincir sebelum bola menuju ke arah penyerang berusia 33 tahun itu yang tidak melepaskan peluang keemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 9:35 AM