AKSI Kane menjaringkan gol pertama Bayern. FOTO Reuters
AKSI Kane menjaringkan gol pertama Bayern. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Harry Kane menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir untuk membawa Bayern Munich ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Galatasaray 2-1, awal pagi tadi.

Bayern menang kesemua 16 aksi peringkat kumpulan UCL sebelum ini tetapi gagal memecah kebuntuan sehinggalah pada 10 minit terakhir apabila Kane sekali lagi muncul wira dengan menanduk masuk hantaran Joshua Kimmich untuk meletakkan pasukannya di depan.

Dia sekali lagi merobek gawang lawan ketika permainan berbaki empat minit apabila menolak masuk hantaran Mathys Tel untuk mengesahkan kemenangan Bayern dan mengumpul 19 jaringan keseluruhan daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan sejak berpindah dari Tottenham pada musim panas.

Cedric Bakambu menjaringkan gol untuk pelawat pada masa kecederaan tetapi Bayern cekal bertahan dengan kelebihan satu gol.

Galatasaray yang tewas 1-3 di tempat sendiri sebelum ini masih berpeluang untuk layak dari peringkat kumpulan dengan berbaki dua perlawanan.

"Kami sudah menjangka aksi sengit selepas perlawanan sebelum ini tetapi saya fikir kami beraksi dengan baik," kata Kane kepada DAZN selepas tamat perlawanan.

"Kami semakin meningkat pada babak kedua. Keseluruhannya kami berhak menang dan saya gembira kami layak."

Bayern kehilangan Jamal Musiala pada lewat babak pertama selepas pemain Jerman itu memberi isyarat ke arah bangku simpanan susulan kecederaan hamstring.

Kane berkata "tidak bernasib baik Jamal cedera, harap ia tidak terlalu teruk."

Juara enam kali Bayern kini tidak tewas dalam 38 aksi peringkat kumpulan sekali gus satu lagi rekod baharu di Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 7:14 AM