NOOR Azman (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Aaron (dua kiri) mengenai Piala Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
NOOR Azman (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Aaron (dua kiri) mengenai Piala Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Syazwan Msar


Putrajaya: Barisan kejurulatihan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) mungkin baharu, namun corak permainan termasuk falsafah diterapkan kelak tetap akan mengikut jejak langkah 'abang' mereka.

Situasi terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang melihat barisan kejurulatihan baharu skuad B-23 perlu mengamalkan corak permainan sama dengan pasukan senior seperti direncanakan badan induk bola sepak itu.

"Kita tunggu jurulatih baharu yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini. Corak permainan mereka akan sama (seperti skuad Harimau Malaya)," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Karnival Uniti Pestabola Merdeka 2023 yang disempurnakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Dagang di perkarangan Kementerian Perpaduan Negara, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan senarai akhir ketua jurulatih skuad B-23 negara sudah hampir dimuktamadkan dengan kemungkinan besar penolong jurulatih pasukan muda itu, Juan Torres Garrido akan 'dinaikkan pangkat' untuk menggalas tanggungjawab itu.

Skuad muda negara akan lebih 'segar' kerana jawatan penolong jurulatih pula disandang penolong jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, sekali gus menyaksikan pasukan B-23 negara akan melalui pembaharuan sebagai persediaan mengharungi Piala Asia B-23 pada April tahun depan.

Menurut sumber, FAM akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat ini sebaik selesai segala urusan dokumentasi membabitkan jurulatih berasal dari Sepanyol itu.

Sementara itu, Noor Azman turut menafikan bekas bintang kelab gergasi Itali, AC Milan yang juga legenda Jepun Keisuke Honda bakal menggalas cabaran sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara.

"Bukan dia akan galas tanggungjawab itu, jurulatih asing atau tempatan kita akan buat pengumuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:56 PM