HABIB ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan. FOTO Ghazali Kori
HABIB ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Terengganu FC (TFC), Habib Haroon menjelaskan pasukannya hadir ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tanpa tekanan untuk berdepan Selangor FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad ini.

Jelas pemain kelahiran Bahrain itu, kemenangan 1-0 ke atas juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners pada Rabu lalu bakal meningkat lagi motivasinya bersama rakan sepasukan untuk mengintai peluang ke separuh akhir.

Tambah pemain berusia 23 tahun itu, bekalan dua jaringan juga menambah lagi keyakinan pemain untuk mengulangi pencapaian sebagaimana musim lalu layak ke separuh akhir sebelum dikecewakan skuad The Red Giants untuk melangkah ke final.

Bagaimanapun, Habib yang sudah tiga musim bersama skuad Penyu itu mahu rakan sepasukan agar berwaspada dengan kebangkitan lawan lebih-lebih lagi skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bukannya biasa-biasa.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak minggu lalu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu melakar kemenangan 2-0 hasil jaringan Ivan Mamut menerusi sepakan penalti dan gol padang Muhammad Syahmi Zamri.

"Kami hadir ke tempat lawan Ahad ini dengan keazaman yang tinggi untuk memburu slot ke separuh akhir, kemenangan ke atas kelab Australia pada aksi Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Rabu lalu melonjakkan lagi semangat dan motivasi kami untuk berdepan dengan Selangor FC.

"Bekalan dua gol juga menambah lagi keyakinan kami untuk memburu tiket ke separuh akhir walaupun sedar ia bukan jaringan yang besar dan apa-apapun boleh berlaku dalam sukan ini.

"Lagipun kami hadir tanpa tekanan, saya yakin Tommy (Steinbruckner) ada strateginya yang tersendiri untuk menghadapi perlawanan penting itu, bagaimanapun Selangor FC adalah pasukan yang bagus dan dibarisi ramai pemain kebangsaan, sebarang kesilapan bakal mengundang padah.

"Justeru saya menasihati diri dan rakan sepasukan berjuang habis-habisan sehingga minit terakhir perlawanan untuk mara ke separuh akhir sebelum mengintai peluang ke final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 10:49 PM