MAMUT membuktikan sentuhannya begitu berbisa selepas membantu pasukannya layak ke final Piala Malaysia musim ini. FOTO GHAZALI KORI
MAMUT membuktikan sentuhannya begitu berbisa selepas membantu pasukannya layak ke final Piala Malaysia musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas kerap dikritik peminat sendiri berikutan prestasi tidak konsisten sebelum ini, penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut membuktikan dia layak digelar wira skuad Penyu.

Apa tidaknya, tiga jaringan yang dihasilkan ketika aksi separuh akhir menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu berjaya melangkah ke pentas final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 2018 bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim.

Pada aksi separuh akhir kedua Jumaat lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pemain kelahiran Croatia itu membuktikan sentuhannya begitu berbisa apabila berjaya menjaringkan dua gol berkelas dunia bagi memastikan kemenangan 2-1 berpihak pasukannya.

Terdahulu pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang juga berpihak kepada TFC hasil kemenangan 2-1, penyerang berketinggian 1.92 meter itu menjaringkan satu gol manakala satu gol lagi disumbangkan oleh Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu enggan mendabik dada sebaliknya akui kejayaan mara ke pentas final piala berprestij itu adalah hasil kerjasama daripada rakan sepasukannya selain kebijaksanaan strategi ketua jurulatih, Steinbruckner.

"Dua jaringan ketika membenam KL City FC pada aksi separuh akhir kedua adalah sesuatu yang indah lebih-lebih lagi jaringan itu penting bagi memastikan pasukan berjaya melangkah ke pentas final selepas lima tahun menanti.

"Malah suasana yang indah pada malam itu (Jumaat) bermula dengan sesi latihan memanaskan badan lagi dengan suasana yang sangat mengagumkan terutama dengan kehadiran ribuan peminat setia yang boleh saya simpulkan paling banyak sejak saya menyertai TFC bermula awal musim ini.

"Tambah memberikan keyakinan kepada saya apabila semua rakan sepasukan beraksi dengan baik pada malam itu dengan mengikut perancangan dan kami berhak untuk ke final, kehadiran keluarga saya juga turut membakar lagi semangat saya ketika itu, saya boleh katakan malam itu menjadi hari yang begitu bermakna buat saya.

"Namun seperti yang saya katakan, tanpa rakan sepasukan saya tidak mampu untuk bermain sebegini, kehadiran ribuan penyokong juga membangkitkan lagi semangat kami, terima kasih kepada semua, anda juga hebat memberikan sokongan," katanya ketika ditemui.

TFC yang terkandas di peringkat separuh akhir saingan sama musim lalu menang dengan agregat 4-2 menumpaskan skuad The City Boys dan bakal berdepan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 9 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 2:54 PM