KAMAL kini muncul dengan drama Nafsu yang disiarkan di platform Viu Malaysia.
KAMAL kini muncul dengan drama Nafsu yang disiarkan di platform Viu Malaysia.
Norhayati Nordin


MEMILIKI cahaya mata pastinya menjadi impian besar pasangan suami isteri.

Ia turut diakui pelakon berkaliber, Kamal Adli yang kini sudah bergelar bapa sejak 27 April lalu selepas dua tahun menunggu.

Demi menjaga isterinya juga pelakon, Uqasha Senrose menjalani tempoh berpantang dan anak mereka, Hawra Uqaira yang kini berusia dua bulan, Kamal, 38, sanggup bercuti selama tiga bulan daripada aktiviti lakonan.

Ditanya pengalamannya, Kamal berkata, sangat seronok walaupun serba-serbi semuanya masih baharu, namun kehidupannya secara peribadi dirasakan sudah lengkap dan sangat bahagia.

"Bagaimanapun, sebagai lelaki yang baru jadi bapa sebenarnya ada jugalah beberapa cabaran yang menguji semangat diri saya untuk melaluinya kerana belum terbiasa dengan 'ragam' anak kecil.

"Pada awalnya terasa susah juga, terutama perlu menghadap ragam Hawra yang suka berjaga malam dan untuk itu, saya dengan Uqasha akan bergilir-gilir menjaganya bagi memastikan anak baik-baik saja.

"Selain itu, saya juga sekarang dah boleh buat susu anak, siapkan Hawra selepas dia mandi, uruskan tidur 'baby' dan sebagainya. Cuma, setakat ini saya masih tidak berani untuk mandikan Hawra lagi," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli ini, dia sebenarnya masih kurang yakin untuk memegang anaknya itu dengan baik ketika dimandikan kerana masih terlalu kecil.

"Setakat ini saya hanya tengok dan perhatikan saja Uqasha mandikan Hawra sebab nak cuba-cuba pun, saya memang tak berani. Tapi, tak apalah dulu sebab sampai masa dah besar sedikit nanti, saya akan mandikan juga Hawra.

"Tak perlu ambil apa-apa risiko kalau tak yakin nak buat. Apapun, seronok sangatlah bila dah ada anak ini terutama ketika saya dapat tidur bersama dengan Hawra," katanya yang turut bersyukur rezeki lakonan tidak putus.

KAMAL dan Uqasha bersama bayi sulung mereka, Hawra Uqaira.
KAMAL dan Uqasha bersama bayi sulung mereka, Hawra Uqaira.

Mengulas mengenai pendedahan wajah anaknya itu, Kamal berkata, dia, Uqasha dan Hawra terbabit di dalam satu program khas untuk siaran televisyen yang sudah dipersetujui dan perlu dihormati oleh mereka.

"Berkenaan nak tunjukkan wajah Hawra kepada umum, ia mungkin akan disiarkan di TV tidak lama lagi kerana kami bertiga sekeluarga terbabit dengan program khas itu. Jadi, kena tunggulah.

"Saya dan Uqasha tak akan sorok lama-lama pun wajah Hawra, cuma kena ikut tayangan episod program itulah. Wajah Hawra memang akan kami kongsikan di dalam program ini," katanya.

Apapun, Kamal juga mengakui dia sangat kagum dengan semangat dan kesabaran Uqasha ketika menjaga anak yang disifatkan sangat cekap, lemah-lembut dan tidak pernah pun mengadu penat walaupun kena berjaga sehingga awal pagi.

KAMAL akui kehidupan dan kebahagiannya lengkap sejak bergelar bapa.
KAMAL akui kehidupan dan kebahagiannya lengkap sejak bergelar bapa.

Watak dah rasa macam 'ustaz'

Kini tampil dengan drama Nafsu di platform Viu Malaysia, Kamal berkata, dia melakonkan watak Sam yang boleh dianggap satu cabaran berat, namun amat menyeronokkan dengan hasil karya arahan Sein Qudsi itu.

"Selama 50 hari juga terbabit dalam penggambaran drama Nafsu ini dan ada antara harinya kami bekerja di set (pengambaran) selama 21 jam. Tapi, semua orang okay saja dan tetap bersemangat.

"Walaupun ada lapan episod saja, tapi drama ini memuatkan konflik besar iaitu penunggang agama yang jalan ceritanya memang berjaya disampaikan oleh Sein dengan baik. Saya rasa puas hati dan berbaloi.

"Saya sebagai Sam adalah lelaki mempunyai 'deria keenam' yang boleh nampak benda ghaib kerana hijab dibuka. Jadi, bagi mengusir entiti-entiti itu, saya perlu membaca beberapa surah dalam Al-Quran. Dah macam ustaz, tapi syukur Alhamdulillah," katanya.

Kamal berkata, dia juga bertuah kerana rakan pelakon lain di dalam drama Nafsu itu seperti Azira Shafinaz, Aqasha, Khayrisyah Kemal, Nia Atasha dan Ellie Suriaty sangat membantunya.

Mengharapkan drama itu mendapat sambutan baik penonton, Kamal berkata, dia masih tidak bersikap 'demand' dan terlalu memilih watak, tetapi lebih memastikan karekter sesuai untuk setiap tawaran berlakon diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:20 AM