TCHETCHE mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin selain berwaspada. FOTO GHAZALI KORI
TCHETCHE mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin selain berwaspada. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche menegaskan dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali bangkit pada aksi separuh akhir kedua dalam misi memburu tiket ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu juga akui skuadnya bagaikan 'harimau luka' dan bertekad menyerang habis-habisan untuk memadam dua defisit gol walaupun sedar Selangor FC pasti hadir dengan strategi berbeza.

Tambah pemain paling senior skuad Penyu berusia 35 tahun itu, dia yakin sorakan padu peminat setia yang bakal membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak selain beraksi di tempat sendiri bakal memberikan tonik berharga buat pasukannya.

Bagaimanapun Tchetche yang pernah beraksi bersama skuad Penyu itu pada pentas final Piala Malaysia 2018 mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin selain berwaspada dengan setiap gerakan skuad Gergasi Merah kendalian jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe.

Katanya sebarang kealpaan walaupun sesaat, bakal mengundang padah, selain rakan sepasukannya perlu elak daripada tertekan pada aksi penentuan itu.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain tewas 1-3 walaupun skuad itu mendahului perlawanan hasil jaringan Tchetche menerusi sepakan percuma.

"Kita masih berbaki 90 minit lagi, impian saya sudah pasti mahu mengubah keputusan selepas tewas pada aksi separuh akhir pertama, lagipun bagi saya tiada yang mustahil dalam sukan bola sepak ini.

"Beraksi di tempat sendiri, ianya memberi peluang kepada kami untuk kembali bangkit, tambahan pula dengan sokongan padu ribuan peminat setia yang sudah pasti mahukan kami mengulangi pencapaian mara ke final sebagaimana dalam saingan Piala FA.

"Saya percaya kita boleh, tapi nasihat saya kepada rakan sepasukan agar mereka percaya dan yakin, bermain seperti biasa dengan memberikan yang terbaik selain kami perlu menyerang habis-habisan untuk memburu jaringan bagi memadam dua defisit gol serta jaringan kemenangan.

"Inilah peluang kita untuk bangkit kerana kita bermain di laman sendiri, buat 'pemain ke-12' sorakan padu anda ditagih bagi memastikan tiket ke final menjadi milik TFC," katanya ketika dihubungi.

Pada aksi malam esok, Nafuzi dijangka bakal menurunkan penjaga gol, Suhaimi Husin dengan mengekalkan gandingan Pape Diakite, Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad di benteng pertahanan.

Barisan tengah bakal dihuni pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott yang bakal bergandingan dengan Habib Haroon dan pemain sayap, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim serta Faisal Halim manakala penyerang bakal menjadi milik Tchetche dan Kpah Sherman.

TFC perlu merakam kemenangan dengan berkelebihan tiga jaringan untuk mara ke final, jika gagal impian untuk mengulangi pencapaian mara ke final trofi itu sebagaimana musim 2018 berkecai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 4:25 PM