Habib Haroon (tengah) diasak pemain Sarawak United FC, Norman Angkun pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori
Habib Haroon (tengah) diasak pemain Sarawak United FC, Norman Angkun pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek Terengganu FC (TFC), Habib Haroon tekad mahu melebarkan rekod kemenangan kali ketiga musim ini ke atas Selangor FC apabila dua pasukan itu bakal bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Rabu ini.

Pemain import kelahiran Bahrain itu berkata, walaupun rekod beraksi di tempat lawan tidak begitu memuaskan musim ini, namun dia dan rakan sepasukan tidak rela keciciran mata lagi.

Tambah pemain berusia 22 tahun itu, ketiadaan ketua jurulatih The Red Giants, Michael Feichtenbeiner yang melepaskan jawatannya minggu lalu berikutan aksi tidak konsisten pasukannya akan dimanfaatkan sebaik mungkin pasukannya.

Bagaimanapun pemain yang menyertai TFC ketika jendela kedua perpindahan pemain musim lalu enggan melihat situasi itu sebagai kelebihan buat pasukannya.

Sebaliknya bekas pemain kelab Al-Riffa dalam Liga Bahrain itu sedar skuad yang kini dibimbing jurulatih sementara, Nidzam Jamil itu pasti mahu membalas dendam terutama selepas tewas pada aksi separuh akhir Piala FA dan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, sebelum ini.

"Perlawanan sebelum ini kami banyak keciciran mata, jadi perlawanan dengan Selangor FC nanti saya berazam untuk terus memberikan aksi terbaik bagi melebarkan lagi rekod kemenangan ketiga musim ini.

"Dengan ketiadaan pengendali mereka, saya dan rakan sepasukan mahu mengambil peluang itu walaupun sedar rekod kami di tempat lawan tidak begitu baik setakat ini.

"Namun pesanan saya buat diri dan rakan sepasukan, usah mengambil mudah sebaliknya perlu berwaspada dengan taktikal yang bakal direncanakan jurulatih sementara mereka, lagipun skuad itu juga kuat, jadi pasti saingan itu sengit," katanya yang mengakui sudah jatuh hati dengan skuad Penyu itu.

Pada aksi Liga Super pusingan pertama April lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain melakar kemenangan 2-0 hasil jaringan Mohd Faisal Halim dan Kipre Tchetche manakala aksi separuh akhir Piala FA pada 6 Ogos lalu, skuad Penyu merakam kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan sebenar terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 1:21 PM