REAKSI Mohd Suhaimi selepas jaringan gol pertama Terengganu FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
REAKSI Mohd Suhaimi selepas jaringan gol pertama Terengganu FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin akui puas selepas berjaya membantu pasukannya mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia musim ini dengan mengetepikan Selangor FC.

Malah lebih menggembirakan bekas penjaga gol pasukan Terengganu FC II (TFC II) berusia 29 tahun itu apabila pasukannya berjaya membalas dendam kekalahan musim lalu kepada skuad The Red Giants di peringkat separuh akhir dalam saingan yang sama.

Bagaimanapun jelasnya, perjuangan belum selesai dalam misi melangkah ke pentas final pada musim ini selepas terkandas di peringkat separuh akhir musim lalu.

Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, TFC terikat 1-1 dengan Selangor FC hasil sepakan penalti Ivan Mamut manakala gol lawan oleh Muhammad Safuwan Baharuddin, namun skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu berjaya melangkah ke separuh akhir dengan agregat 3-1 selepas menang 2-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak minggu lalu.

"Bersyukur selepas pasukan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini sebagaimana tahun lalu.

"Lebih manis pasukan tidak tewas sejak tiga bulan lalu termasuklah ketika berdepan dengan Selangor FC malam tadi, ia adalah usaha keras rakan sepasukan dan kebijaksanaan barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Steinbruckner)," katanya.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Besut yang bermula dengan pasukan kelab, Hanelang FC akui rezeki buatnya selepas kerap dipilih menjadi penjaga gawang nombor satu skuad Penyu.

"Ini adalah rezeki saya kerana dipilih untuk menjadi pemain utama dan berjaya membantu pasukan mara ke separuh akhir, saya sentiasa bersedia dan akan menunjukkan aksi terbaik, begitu juga dengan rakan seposisi, Rahadiazli Rahalim yang juga penjaga gol terbaik TFC.

"Bagaimanapun sejujurnya saya masih lagi belajar untuk menjadi yang terbaik buat pasukan, lagipun perjuangan belum selesai, buat peminat saya juga menyeru agar sentiasa memberi kata-kata semangat buat saya dan pasukan untuk terus cemerlang," katanya.

TFC yang bakal membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir berpeluang untuk menebus kehampaan gagal ke pentas final Piala FA musim ini selepas tumpas kepada skuad The City Boys itu dengan penentuan sepakan penalti 4-2 sesudah kedudukan sehingga masa tambahan terikat tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 9:04 PM