SANCHO kini berlatih bersendirian sehingga isu disiplin selesai. -FOTO AFP
SANCHO kini berlatih bersendirian sehingga isu disiplin selesai. -FOTO AFP
AFP

Manchester, United Kingdom: Masa depan Jadon Sancho di Manchester United kini menjadi persoalan apabila kelab itu mengeluarkan kenyataan bahawa pemain sayap England itu akan berlatih sendiri kerana 'isu disiplin skuad.'

Sancho digugurkan ketika United tewas 1-3 kepada Arsenal awal bulan ini kerana prestasi buruk yang dilihat pengurus United, Erik ten Hag dalam latihan.

Pemain berusia 23 tahun itu kemudiannya membidas kenyataan pengurus itu dengan menyiarkan di media sosial bahawa dia dijadikan "kambing hitam untuk masa yang lama."

Dalam satu kenyataan, United berkata: "Jadon Sancho akan kekal dalam program latihan bersendirian dan tidak menyertai pasukan utama sementara menunggu penyelesaian isu disiplin dalam skuad."

Sancho dianggap antara bakat muda paling cemerlang dalam bola sepak Eropah apabila dia menyertai United dengan harga £73 juta (RM424.10 juta) daripada Borussia Dortmund dua tahun lalu.

Tetapi dia bergelut mempamerkan aksi terbaik dengan nilai harga itu di Old Trafford apabila hanya menjaringkan 12 gol dalam 82 penampilan.

Bekas pemain muda Manchester City itu diberi cuti antara Oktober dan Februari musim lalu untuk melengkapkan program kecergasan musim sejuk di Belanda.

Ten Hag membuktikan bahawa beliau seorang yang tegas membabitkan disiplin walaupun dengan beberapa bintang besar di Old Trafford.

Terdahulu tempoh Cristiano Ronaldo di kelab itu dipendekkan selepas dia mengkritik bekas pengurus Ajax itu dalam temu bual televisyen, manakala Marcus Rashford diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan musim lalu selepas tiba lewat ketika mesyuarat pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 7:06 AM