Sancho (kanan) bermain di sayap kanan ketika berdepan Chelsea. -FOTO AFP
Sancho (kanan) bermain di sayap kanan ketika berdepan Chelsea. -FOTO AFP
Reuters

London: Jadon Sancho perlu membina momentum di Manchester United musim depan selepas mempamerkan peningkatan kata pengurus Erik ten Hag ketika penyerang England berusia 23 tahun itu terus mencari rentak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sancho yang menyertai United dari Borussia Dortmund pada Julai 2021, kembali berlatih pada Januari buat kali pertama sejak Oktober dan bergelut untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

Bagaimanapun Khamis lalu dia semakin bersemangat apabila United mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan 4-1 ke atas Chelsea.

Sancho bermula di sayap kiri, tetapi berikutan kecederaan penyerang Antony, dia beralih ke kanan dan membantu gol Anthony Martial untuk meletakkan United 2-0.

"Dia bermain dengan sangat baik di bahagian kanan, dan saya fikir sudah mula mendapat rentaknya," kata Ten Hag sebelum perlawanan di tempat sendiri menentang Fulham esok.

"Terdapat pemain yang cedera jadi saya mengambil peluang untuk memberinya beberapa arahan. Dia melakukan dengan sangat baik di sebelah kanan.

"Sancho adalah salah seorang pemain yang (menunjukkan peningkatan yang baik) pada musim ini. Ia adalah asas yang baik untuk dia pergi lebih jauh. Dia boleh bermain dikedua-duanya (sayap) tetapi saya rasa dia lebih suka bermain di sebelah kiri."

Bagaimanapun Ten Hag berkata beliau tidak pasti sama ada pemain pertahanan Luke Shaw yang terpaksa di bawa keluar ketika menentang Chelsea selepas mengalami masalah belakang akan bersedia untuk menentang Fulham.

Pengendali Belanda itu berkata, tahap kecederaan kaki Antony belum diketahui selepas dia terpaksa dibawa keluar padang dengan pengusung.

Juara Eropah tiga kali United yang gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim lalu, akan berdepan seteru Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA pada 3 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 10:50 AM