SANCHO tidak mendapat kepercayaan Ten Hag.
SANCHO tidak mendapat kepercayaan Ten Hag.
Agensi

London: Jadon Sancho mungkin menjadi pemain terbaru bakal berpindah secara mengejut ke Arab Saudi, menurut laporan awal pagi tadi.

Masa depan pemain England itu bersama Manchester United menjadi perhatian selepas dia secara terbuka mengkritik pengurus Erik ten Hag yang tidak menyenangi prestasinya ketika sesi latihan.

Laporan mendakwa situasi itu dimanfaatkan kelab Liga Pro Saudi yang tidak didedahkan apabila menawarkan Sancho peluang meninggalkan Old Trafford sebelum jendela perpindahan di negara Teluk terbabit ditutup hari ini.

Menurut Sport Italia, salah satu kelab Arab Saudi menghantar tawaran rasmi kepada wakil Sancho.

Kelab terbabit dilapor bekerja keras untuk menandatangani bekas pemain Borussia Dortmund itu.

Prestasi Sancho, 23, ketika sesi latihan sejak akhir-akhir ini gagal menarik perhatian Ten Hag yang sekali gus menggugurkannya daripada skuad ketika tewas 1-3 kepada Arsenal Ahad lalu.

Ten Hag berkata: "Berdasarkan prestasinya ketika sesi latihan, kami tidak memilihnya. Anda perlu konsisten walaupun ketika berlatih di Manchester United. Anda boleh memilih siapa di bahagian depan, jadi dalam perlawanan itu dia tidak terpilih."

Sancho mengkritik pengurusnya di Twitter dengan berkata: "Tolong jangan percaya apa sahaja yang anda baca. Saya tidak benarkan orang berkata sesuatu yang tidak betul. Saya berlatih dengan baik ketika latihan minggu ini.

"Saya percaya ada sebab lain mengapa saya disisihkan, saya menjadi kambing hitam sekian lama yang sama sekali tidak adil!

"Apa yang saya mahu bermain bola sepak dengan senyuman dan menyumbang kepada pasukan. Saya hormati semua keputusan staf kejurulatihan dan saya akan terus berjuang untuk lencana ini tidak kira apa cabaran mendatang!"

Manchester United kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 16 September apabila menerima kunjungan Brighton di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 8:38 AM