TEN Hag tidak lagi perlukan Sancho (kanan).
TEN Hag tidak lagi perlukan Sancho (kanan).
Agensi

London: Jadon Sancho dilapor telah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp Manchester United selepas pertelingkahannya dengan Erik ten Hag menyebabkan dia dilarang daripada menyertai sesi latihan skuad utama.

Masalah Sancho di Old Trafford berlarutan sejak September apabila dia mendakwa Ten Hag berbohong mengenai punca dia tersisih daripada skuad United yang tewas 1-3 di tangan Arsenal.

Ten Hag memberitahu media, pemain Inggeris itu tidak menampilkan kesungguhan ketika latihan, tuduhan yang pantas dinafikan Sancho di media sosial dan membidas kenyataan pengurusnya itu.

Pengendali dari Belanda itu kemudiannya menyisihkan Sancho daripada skuad utama dan bekas pemain Dortmund itu hanya boleh berlatih dengan pemain akademi.

Mirror Football sebelum ini mendedahkan pemain berusia 23 tahun itu turut dilarang menggunakan semua kemudahan termasuk kafe skuad utama menyebabkan Sancho terpaksa makan bersama pemain akademi di Old Trafford.

The Sun kini melaporkan Ten Hag bertindak lebih jauh apabila menyingkirkan penyerang itu daripada kumpulan WhatsApp United, platform di mana dia dan pembantu mengemaskini senarai pemain skuad utama.

Sancho dikatakan tidak gembira dengan cara layanannya di United tetapi tetap enggan meminta maaf kepada Ten Hag walaupun memadamkan kenyataan mengenai pengurusnya itu di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 3:09 PM