PEMAIN Selangor FC, Ayron Del Valle (kiri) cuba menjaringkan gol ketika perlawanan menentang KL City FC. FOTO BERNAMA
PEMAIN Selangor FC, Ayron Del Valle (kiri) cuba menjaringkan gol ketika perlawanan menentang KL City FC. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) diingatkan agar tidak terlalu selesa sebaliknya perlu bersaing bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Jelas pengendali baharu KL City, Nenad Bacina, beliau akan membariskan kesebelasan terbaik berdasarkan kepada komitmen dan semangat yang ditunjukkan dalam sesi latihan.

Katanya, beliau tidak gemar bekerja dengan pemain yang tidak mempunyai cita-cita.

"Saya kata kepada pemain tiada kesebelasan utama dalam pasukan ini, siapa yang memulakan perlawanan hari ini (malam tadi) tidak semestinya akan memulakan perlawanan seterusnya.

"Saya tak suka bekerja dengan pemain yang tiada cita-cita dan saya gembira pemain-pemain ini menunjukkan cita-cita untuk memperbaiki diri," katanya selepas aksi Liga Super menentang Selangor FC malam tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, skuad Red Giants melakar kemenangan 2-0 menerusi jaringan Harith Haiqal dan Ayron de Valle.

Mengulas tentang kekalahan itu, Bacina yang menggantikan Bojan Hodak akui pemainnya sudah melakukan terbaik namun terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah.

Ujarnya lagi, beliau akan terus memberi peluang kepada pemain muda sebagai platform meraih pengalaman.

"Pemain-pemain muda kena merasai kesakitan dan tidak boleh duduk dalam zon selesa. Kita sudah ke penghujung musim, sudah tentu kita akan berikan pemain-pemain muda minit permainan, mereka harus rasai tekanan seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 2:11 PM