KULJANAC atau Kuljo dilantik ketua jurulatih KL City FC menggantikan Bacina yang meletak jawatan. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
KULJANAC atau Kuljo dilantik ketua jurulatih KL City FC menggantikan Bacina yang meletak jawatan. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur (KL) City FC memulakan latihan pramusim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 selepas menerima pengesahan rasmi mengenai pelunasan tunggakan sepenuhnya sebelum akhir Mac 2024.

KL City dalam kenyataan menjelaskan, perkara itu mengambil kira pemakluman kelab sebelum ini kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bahawa pramusim hanya akan bermula selepas kepastian rasmi mengenai pelunasan tunggakan sepenuhnya dan mematuhi tarikh akhir ditetapkan badan pentadbir Liga M itu.

Juara Piala Malaysia 2021 itu berkata, dengan kepastian diterima, barisan pemain, jurulatih dan staf KL City FC membuka lembaran baru untuk turun ke gelanggang bagi persediaan pramusim.

"Langkah akauntabiliti ini diambil bagi memastikan kelab bersedia menghadapi cabaran musim baru dengan langkah kanan dan pada masa yasama mengekalkan kestabilan, berdaya saing dan mampan dari segi kewangan.

"Pengurusan kelab ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Penaung Kuala Lumpur City FC, Fahmi Fadzil; Menteri Wilayah, Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh atas sokongan dan keprihatinan mereka terhadap kelestarian dan kemajuan berterusan Kuala Lumpur City Football Club," kata kelab itu.

Sementara itu, KL City turut mengumumkan pelantikan Miroslav Kuljanac sebagai ketua jurulatih baharu skuad City Boys bagi menggantikan Nenad Bacina.

Kuljanac atau lebih dikenali sebagai Kuljo adalah pembantu kepada bekas pengendali KL City, Bojan Hodak dan bertanggungjawab mengendalikan pasukan secara interim sebelum kepulangan Bacina, musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 9:30 PM