AB Ghani (kiri) dan Stuart bergambar bersama Piala MFL. FOTO MFL
AB Ghani (kiri) dan Stuart bergambar bersama Piala MFL. FOTO MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) buat julung kalinya melancarkan trofi Piala MFL yang bakal menjadi rebutan 15 pasukan skuad bawah 23 (B-23) tahun musim ini.

Trofi berkenaan diperkenalkan buat kali pertama oleh Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan kepada wakil kelab di Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke 7, hari ini.

Trofi Piala MFL ini menjadi lambang kepada pertandingan terbaharu diperkenalkan MFL pada musim ini yang menjadi platform kepada pemain muda daripada 14 kelab Liga Super serta Skuad Projek FAM-MSN memperagakan bakat di pentas tinggi.

Dengan rekaan berbentuk perisai, trofi ini melambangkan ketahanan, jati diri dan semangat luar biasa khususnya pemain-pemain muda dalam menghadapi apa jua cabaran.

Diperbuat daripada kaca lutsinar jelas menambahkan lagi keutuhan trofi ini bagi melambangkan visi, misi dan cita-cita yang dipupuk dalam kejohanan ini.

Dua warna yang ada pada trofi ini iaitu merah dan hitam melambangkan kerjasama semua pasukan dalam mengembangkan lagi bakat dan keupayaan pemain-pemain muda bawah 23 tahun ini.

"Saya berharap dengan pelancaran trofi Piala MFL ini akan merancakkan lagi saingan yang kini telah pun memasuki pusingan kedua iaitu Liga Juara di mana lapan pasukan sedang berentap untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Piala MFL 2023 yang dijangka berlangsung pada November.

"MFL dan semua pasukan menaruh harapan tinggi bahawa pertandingan ini akan dapat mengetengahkan pemain-pemain muda berpotensi tinggi untuk menjadi pelapis kepada pemain senior pada masa akan datang.

"Semoga semua pihak dapat memberikan sokongan padu kejohanan ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada lapan pasukan yang kini dalam perebutan selaku juara sulung Piala MFL", kata Ab Ghani.

Lapan kelab yang sedang berentap dalam Liga Juara Piala MFL adalah Terengganu FC II, Johor Darul Ta'zim II, Selangor FC, Sri Pahang FC, Kuala Lumpur City Extension, PDRM FC, Perak FC II dan Kedah Darul Aman FC B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 8:58 PM