HAQIMI ketika beraksi bersama Harimau Malaya di Piala AFF tahun lalu. FOTO BERNAMA
HAQIMI ketika beraksi bersama Harimau Malaya di Piala AFF tahun lalu. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua ubi muda Kuala Lumpur City FC (KL City) iaitu Haqimi Azim Rosli dan T Saravanan memiliki bakat luar biasa dan berpotensi untuk beraksi di luar negara.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh pengendali KL City, Nenad Bacina yang menganggap kedua-dua ayam tambatannya mempunyai pakej untuk di 'eksport' ke luar.

Katanya, Haqimi dan Saravanan mampu bersaing dengan pemain luar terutama di liga terbaik di sekitar Asia sekali gus membuka peluang mencipta nama di luar Liga Malaysia.

"Buat masa ini saya tidak boleh bercakap tentang perkara ini (pemain berpotensi) tetapi sudah pasti kami ada beberapa pemain yang agak baik, salah satu daripada mereka adalah Haqimi dan Saravanan," katanya pada Majlis Menandatangani kerjasama Kuala Lumpur City dan Sepahan SC, kelmarin.

Untuk rekod, kedua-dua pemain itu antara pemain utama skuad bawah 23 tahun negara dan juga pernah dipanggil menyertai skuad senior di bawah kendalian Kim Pan-gon sebelum ini.

Begitupun, khidmat dua tonggak berkenaan tidak dapat dilihat bersama skuad B-23 di Thailand ketika ini kerana KL City turut memerlukan khidmat mereka dalam saingan liga domestik yang masih berjalan ketika ini.

Sementara itu, Bacina mengakui kerjasama dengan Sepahan SC yang juga juara lima kali Liga Profesional Iran cukup positif dan bakal memberi manfaat untuk kedua-dua pihak.

"Apabila bercakap tentang pemain Iran datang bermain di Liga Malaysia, saya juga mahu lihat pemain muda kita ke sana kerana saya fikir kami akan dapat manfaat daripada pendedahan yang sememangnya bola sepak mereka lebih baik berbanding di sini.

"Kita tidak boleh bandingkan bola sepak Iran dan Malaysia kerana mereka jauh lebih tinggi. Jadi kita kena belajar daripada mereka yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 1:30 PM