Pemain KUFC, Muhammad Zafuan Azeman (kiri) diasak pemain Selangor II dalam aksi Liga Perdana di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain KUFC, Muhammad Zafuan Azeman (kiri) diasak pemain Selangor II dalam aksi Liga Perdana di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Hasrat Kelantan United Football Club (KUFC) mahu mengutip tiga mata terkubur apabila sekadar seri 2-2 ketika menentang Selangor FC II dalam perlawanan Liga Perdana, petang tadi.

Lebih mengecewakan, keputusan itu diterima tuan rumah pada babak akhir perlawanan sekali gus menyaksikan kedua pasukan sekadar berkongsi satu mata.

KUFC terlebih dahulu meledak gol pembukaan menerusi Zafuan Azeman pada minit ke-33.

Tersentak dengan jaringan itu pelawat segera mengadakan asakan bertali arus namun disia-siakan dengan penyudah tumpul.

Begitu juga gerakan pemain muda, Ariusdius Jais yang merembat kencang namun berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Sikh Izhan Nazrel Shikh Azman minit ke 43.

Kedua pasukan meneruskan rentak dan mencari jaringan namun kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Gassama Alfusainey menjadi wira KUFC apabila menyempurnakan hantaran lintang pemain, Fazrul Amir pada minit ke-54 untuk mendahului Selangor II.

Bagaimanapun, kegembiraan sang Kijang tidak bertahan lama apabila anak buah Micheal Feichtenbeiner meledak gol pertama menerusi import Ghana, Alexander Agyarkwa Ameyaw minit ke 70.

Pelawat bangkit dari ketinggalan seterusnya mencuri satu mata selepas pemain gantian, T Saravanan meledak gol penyamaan lapan minit sebelum wisel ditamatkan dibunyikan.

Keputusan 2-2 menyaksikan pasukan feeder Gergasi Merah mengikat Kelantan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga sekali gus merencatkan misi balas dendam KUFC di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:08 PM