ANTARA aksi Kelantan United bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ANTARA aksi Kelantan United bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Hasrat Kelantan United Football Club (KUFC) untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan terakhir selaku tuan rumah di Stadium Sultan Muhammad ke IV berkecai apabila dititik Negeri Sembilan (NSFC) 4-0 dalam aksi Liga Super, malam ini.

Pelawat terlebih dahulu hampir membuka jaringan menerusi Hein Htet Aung awal enam minit sepak mula namun ditangkap kemas Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Terdahulu kedua pasukan terpaksa bermain berhati-hati dalam keadaan padang becak selepas hujan lebat di Kota Bharu yang turut bermula lewat jam 10.45 malam berbanding jadual asal jam 9 malam.

Import, Herold Mark Goulon menghadirkan gol pertama minit ke 15 buat Negeri Sembilan selepas menyempurnakan sepakan sudut Hein Htet Aung.

Kerapuhan pertahan tuan rumah dihukum gol kedua pelawat selepas Mohamad Hasbullah Abu Bakar mudah membolosi tiga pemain KUFC untuk menggandakan jaringan minit ke 25.

Minit ke 42, Barathkumar Ramaloo menambah derita skuad kijang hijau menerusi rembatan jarak dekat untuk NSFC berpesta gol 3-0 di babak pertama perlawanan.

Memasuki babak kedua, malang menimpa kijang hijau apabila Mohamad Qayyum Marjoni Azhar menerima layangan kad kuning selepas mengasari pemain NSFC, Mohamad Izzudin Mohd Roslan minit ke 51.

Rembatan kedua Baratkumar terus meletakkan pasukan K.Devan di depan dengan empat gol minit ke 65.

KUFC cuba bangkit menerusi dua percubaan tepat Mohd Faiz Mohd Nasir minit ke 69 dan 70 namun rembatan beliau dinafikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang lebih pantas menepis keluar bola.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 1:07 AM