PEMAIN KUFC (jersi putih) berebut bola depan pemain Kelantan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Cabaran, malam tadi. FOTO KUFC
PEMAIN KUFC (jersi putih) berebut bola depan pemain Kelantan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Cabaran, malam tadi. FOTO KUFC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan United Footbal Club (KUFC) menepati ramalan ke separuh akhir Piala Cabaran 2023 apabila menundukkan Kelantan FC 4-0, malam tadi, sekali gus menjadikan agregat 11-0.

Aksi suku akhir kedua derbi Kelantan itu sepatutnya berlangsung pada 8.15 malam, tetapi bermula lewat lebih dua jam akibat hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

KUFC yang membawa bekalan selesa hasil kemenangan 7-0 pada perlawanan pertama, membuka jaringan menerusi sepakan percuma Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-24.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama berikutan tidak banyak percubaan bahaya dilakukan apabila pemain berhati-hati berikutan keadaan padang yang licin.

KUFC menggandakan kedudukan pada minit ke-60 apabila hantaran lambungan Mohamad Qayyum Marjoni Sabil dalam kotak penalti mudah disempurnakan Morgaro Lima Gomis.

Royizzat Daud kemudian mudah menolak bola ke dalam gawang Kelantan untuk gol ketiga KUFC pada minit ke-69.

Anak buah Ailton Dos Santos Silva terus berpesta gol apabila S Sarvin menghadirkan gol keempat menerusi lencongan kaki kanan hasil hantaran Gomis.

Kemenangan itu menyaksikan KUFC layak ke separuh akhir Piala Cabaran berdepan Kuching City FC yang menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan agregat 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 9:14 AM