FOTO KUFC
FOTO KUFC
BERNAMA

Kota Bharu: Kelantan United (KUFC) mengumumkan tujuh pemain tonggak pasukan itu bersetuju melanjutkan kontrak, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mereka adalah Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, Shahrul Hakim Rahim, Asraff Aliffuddin, Amirul Shafik Che Soh, Fikri Che Soh, Imran Samso dan Umeir Aznan.

KUFC dalam kenyataan di laman facebook rasminya memaklumkan ini adalah penampilan musim keempat buat Fakhrul Zaman yang menjaringkan 42 gol serta 26 hantaran gol, hasil daripada 54 aksi bersama pasukan itu.

Manakala Shahrul Hakim merupakan pemain terbaik mereka ketika muncul juara Liga M3 dan turut terpilih sebagai pemain terbaik tahunan KUFC pada 2020.

"Bagaimanapun pada musim 2021, masalah kecederaan membataskan aksi pemain ini pada awal saingan liga, sebelum kembali mendapat tempat sebaik sahaja pulih dari kecederaan pada pertengahan saingan Liga Perdana," menurut kenyataan itu.

Penjaga gol, Fikri dan pemain sayap, Amirul Shafik akan bermain untuk tahun kedua dengan skuad Sang Kijang Hijau.

Menurut KUFC, pemain-pemain lain akan menjalani sesi pemilihan bersama ketua jurulatih selain mendapatkan khidmat pemain import baharu.

KUFC akan mendaftarkan 23 pemain sahaja untuk saingan musim depan, dengan barisan jurulatih akan turut memanggil pemain skuad presiden dan belia bagi diberi peluang bermain bersama pasukan senior.

Sebelum ini, media melaporkan KUFC akan melakukan rombakan terhadap barisan jurulatih dan pemain bagi menghadapi saingan Liga M khususnya Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 5:34 PM