MBAPPE (kanan) ketika sesi latihan PSG minggu lalu.
MBAPPE (kanan) ketika sesi latihan PSG minggu lalu.
AFP

Osaka, Jepun: Paris Saint-Germain memberi lampu hijau kepada Al Hilal untuk bercakap dengan Kylian Mbappe selepas kelab Arab Saudi itu menawarkan bidaan rekod dunia 300 juta euro (RM1.52 bilion) menurut sumber kepada AFP hari ini.

Kelab berpangkalan di Riyadh itu membuat tawaran rasmi menerusi surat tetapi sumber berkata perpindahan itu hanya boleh berlaku dengan persetujuan Mbappe yang tidak pernah menunjukkan minat berpindah ke Liga Pro Saudi.

"Kelab memberikan keizinan kepada Al Hilal untuk bercakap dengan Mbappe. Itu permintaan dalam surat dan ia dibenarkan," kata sumber.

Mbappe hanya berbaki setahun dalam kontraknya dengan PSG yang mahu dia meninggalkan kelab sekarang berbanding berpindah tanpa mendapat apa-apa keuntungan pada musim panas depan.

Namun Mbappe, 24, enggan menandatangani kontrak baharu dan juara Perancis itu percaya dia sudah menandatangani perjanjian berpindah ke Real Madrid tahun depan.

Sumber berkata Real Madrid antara beberapa kelab turut berminat dengan Mbappe.

"Di dalam kumpulan setakat ini yang menunjukkan minat ialah Manchester United, Inter Milan, Barcelona, Tottenham dan paling ketara ialah kelab Arab Saudi dan Real Madrid," kata sumber terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 9:43 PM