MBAPPE membalas emoji ketawa besar selepas Antetokounmpo membuat naik ciapan jenaka berikutan gaji dan tawaran lumayan kepada pemain itu.
MBAPPE membalas emoji ketawa besar selepas Antetokounmpo membuat naik ciapan jenaka berikutan gaji dan tawaran lumayan kepada pemain itu.
Agensi

London: Kylian Mbappe akhirnya 'membuka mulut' mengenai perpindahan mega selepas Paris Saint-Germain (PSG) menerima bidaan rekod dunia ditawarkan Al-Hilal iaitu £259 juta (RM1.52 bilion).

Penyerang berbisa itu enggan menandatangani sambungan kontrak dengan juara Perancis itu dan bercadang untuk berpindah ke Real Madrid secara percuma, musim panas depan.

Bagaimanapun, PSG tidak mahu kehilangannya secara percuma dan terdesak untuk menjualnya dengan beberapa kelab Eropah berminat mendapatkan pemenang Piala Dunia itu.

Ia turut mendorong Al-Hilal menawarkan RM1.52 bilion kepada penyerang berusia 24 tahun itu dan juara Ligue 1 itu dilaporkan membenarkan pemain itu bercakap dengan kelab yang mungkin menjadi destinasinya selepas ini.

Kelab Arab Saudi itu merancang untuk menawarkan kontrak setahun bernilai £600 juta (RM3.51 bilion), termasuk membenarkannya melengkapkan impian untuk berpindah ke Madrid pada 2024.

Jumlah gaji dan tawaran itu tidak pernah dilihat dalam bola sepak sebelum ini menyebabkan bintang bola keranjang NBA, Giannis Antetokounmpo, menciap sesuatu di Twitter yang menarik perhatian Mbappe.

Pemain Milwaukee Bucks itu memuat naik gambarnya di Twitter dengan kapsyen: "Al Hilal, kamu boleh ambil saya. Muka saya seperti Kylian Mbappe."

Malang buat Antetokounmpo kerana wajah mereka tidak banyak persamaan, tetapi Mbappe melihatnya dari sudut jenaka dan membalas ciapan itu dengan meletakkan banyak emoji ketawa besar.

Setakat ini, hanya komen itu yang dikeluarkan dari pihak Mbappe setakat ini, tetapi kapten Perancis itu dijangka menolak tawaran Al-Hilal kerana dia mahu meneruskan kemuncak kariernya di pentas bola sepak tertinggi Eropah.

Malah, selain Real, dia turut dikaitkan dengan kelab seperti Barcelona, Chelsea, Manchester United dan Tottenham, walaupun dia tidak berminat menyertai Spurs.

Al-Hilal sudah mendapatkan beberapa pemain ternama pada musim panas ini seperti Kalidou Koulibaly, Ruben Neves dan Sergej Milinkovic-Savic, walaupun gagal meyakinkan rakan sepasukan Mbappe di PSG, Lionel Messi untuk menyertai mereka.

Messi sebaliknya memilih untuk menyertai David Beckham di kelab MLS, Inter Miami.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 10:57 AM