CHENG Hoe (kanan) tidak menolak untuk menggunakan khidmat Boakye pada pertemuan menentang Sri Pahang. FOTO Selangor FC
CHENG Hoe (kanan) tidak menolak untuk menggunakan khidmat Boakye pada pertemuan menentang Sri Pahang. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas peledak Juventus dalam saingan Serie A, Richmond Boakye-yiadom dijangka akan dipertaruhkan bagi merobek gawang Sri Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, petang esok.

Boakye, 32, yang pernah mencemarkan ego Real Madrid dengan meledak gol ke gawang kelab yang menghimpunkan pemain pertahanan terbaik dunia itu bakal menjadi pilihan pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe untuk digandingkan dengan seorang lagi penyerang prolifik, Ayron del Valle.

Jelas Cheng Hoe, ketika ini Boakye masih lagi dalam penyesuaian diri selepas menyertai pasukan minggu lalu.

"Kami barisan jurulatih masih lagi menilai tahap kecergasan Boakye lagi kerana kita tahu dia baru sampai untuk menyesuaikan diri dalam suasana pasukan, cuaca dan perbezaan masa.

"Yang penting adalah kita nampak dia komited dalam latihan, memberi segala yang dia ada dalam latihan, dan itu sebab mungkin mempertimbangkan Boakye dengan kita menentang Sri Pahang nanti," katanya.

Dalam perkembangan sama, bekas jurulatih Harimau Malaya itu akui fokus utama bertandang ke Kuantan untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Namun beliau menegaskan bukan mudah beraksi menentang skuad Tok Gajah di halaman lawan, apatah lagi semangat juang pemain tuan rumah cukup tinggi.

"Bukan mudah untuk mendapatkan kemenangan di laman Sri Pahang kerana mereka ketika ini bermain begitu baik dan mempunyai semangat juang begitu tinggi.

"Dan ada beberapa perlawanan mereka berjuang habis-habisan terutama bila di minit tambahan (masa kecederaan), mereka dapat menjaringkan gol.

"Itu menunjukkan pasukan Sri Pahang mempunyai semangat juang yang tinggi dan sudah tentu pasukan Selangor perlu bersedia dengan situasi itu, yang penting adalah pemain kena turun ke gelanggang dengan satu keyakinan dan fokus setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 4:33 PM