PEMAIN Negeri Sembilan, Mahalli Jasuli (kiri) mengasak Pemain Selangor, Muhammad Fazly Mazlan (kanan) pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam tadi. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN Negeri Sembilan, Mahalli Jasuli (kiri) mengasak Pemain Selangor, Muhammad Fazly Mazlan (kanan) pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam tadi. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Ini persembahan yang terbaik pasukan Selangor dalam liga musim ini," kata ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe susulan kemenangan bergaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC), 4-0, dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Pengendali itu berkata, meskipun beraksi di gelanggang lawan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, namun rentak skuad Red Giants tidak terjejas sebaliknya berjaya menguasai sebahagian besar aksi berkenaan.

"Saya puas hati kerana ini antara persembahan terbaik Selangor terutama dari segi konsentrasi dan persembahan, walaupun pada awal permainan ada sedikit kebimbangan dari segi 'set piece' Negeri Sembilan yang boleh menghasilkan gol.

"Namun jelas, pemain tidak terganggu dengan situasi itu dan kekal fokus. Walaupun kemenangan agak besar malam ini (malam tadi) tapi ia perlawanan yang sukar kerana tentangan sengit diberikan Negeri Sembilan.

"Syabas dan tahniah buat pemain kerana kekal fokus serta berjaya mencipta banyak peluang jaringan dan memanfaatkannya dengan baik untuk meraih kemenangan," katanya kepada media selepas perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan itu, Selangor mula menembusi benteng Negeri Sembilan menerusi jaringan penyerang import baharu mereka dari Ghana, Richmond Boakye-Yiadom pada minit ke-26 disusuli gol kedua dijaringkan Ayron Valle Rodriguez pada minit ke-58.

Malam gemilang Selangor dilengkapkan dengan jaringan ketiga Yohandry Jose Orozco pada minit ke-74 serta Harith Haiqal Adam Afkar bagi gol keempat pada minit ke-83.

Bekas pengendali kebangsaan itu ternyata memuji persembahan Boakye yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan Selangor biarpun pemain terbabit baharu saja bersama pasukan berkenaan.

"Bukan mudah untuk dia dengan sekelip mata dapat memberikan aksi terbaik dan menyesuaikan dengan corak dan taktikal pasukan.

"Dia bekerja keras untuk pastikan berada pada tahap terbaik dan dapat memberi sumbangan berkesan kepada Selangor malam ini," kata pengendali kelahiran Alor Setar Kedah itu.

Keterangan gambar

Tan Cheng Hoe pada sidang media selepas Selangor FC menewaskan Negeri Sembilan FC, malam tadi. Foto Mohd Amin Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 1:09 PM