TAN Cheng Hoe. FOTO NSTP
TAN Cheng Hoe. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keputusan seri 1-1 menentang Sri Pahang FC sudah cukup membuktikan pasukan Selangor FC di bawah kendalian Tan Cheng Hoe masih lagi 'kebal' ketika ini.

Sejak Cheng Hoe yang juga bekas jurulatih kebangsaan itu mengambil alih skuad Gergasi Merah September tahun lalu menyaksikan pasukan itu tidak pernah tewas dalam tujuh aksi Liga Super.

Jurulatih berasal dari Kedah itu berkata, keputusan positif yang diraih itu memberi inspirasi untuk beliau mencipta lebih banyak kejayaan bersama pasukan Selangor.

"(Rekod tanpa kalah) itu memberi inspirasi supaya kita dapat meneruskannya. Apapun, pujian harus diberikan kepada pemain.

"Kita lihat pemain komited pada sesi latihan dan perlawanan, mendapat keputusan yang positif tetapi masih banyak lagi yang perlu kita perbaiki.

"Kita perlu belajar daripada kesilapan yang berlaku hari ini. Saya yakin dengan kualiti pemain dan kita akan bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertembungan Selangor FC menentang Sri Pahang FC petang semalam, Cheng Hoe gembira dengan semangat juang ditunjukkan anak buahnya yang tidak berputus asa untuk memburu gol yang diperlukan.

"Kita terus menyerang dan mencipta peluang tetapi dengan hujan sepanjang 20 minit terakhir, kita sukar untuk beraksi dengan corak permainan kita.

"Sri Pahang bertahan dengan padat dan mencari peluang menggunakan serangan balas pantas. Rata rata pemain masih lagi menyesuaikan diri terutamanya di bahagian serangan.

"Jika dilihat secara keseluruhan, kita masih lagi mencipta peluang dan ini perkembangan positif untuk pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 5:20 PM