BOAKYE sah sertai Selangor FC. FOTO Selangor FC
BOAKYE sah sertai Selangor FC. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang yang pernah membolosi gawang Real Madrid dari Ghana, Richmond Boakye sah menjadi penggempur baharu Selangor FC sekali gus bakal menambah sengat jentera hadapan skuad Red Giants dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Reputasi Boakye bukan biasa-biasa di mana dia dilihat cukup tajam di depan gawang dengan mengumpul 109 gol sepanjang bergelar pemain profesional sejak 2010 dengan sebahagian besar beraksi di Serie A dan Serie B Liga Itali, La Liga Sepanyol dan Liga Serbia.

Antara kelab yang pernah mendapatkan khidmatnya adalah Juventus, Genoa, Atalanta, Red Star Belgrade dan beraksi di Liga Super China bersama Jiangsu Suning dengan rekod perpindahan 5.5juta Euro atau bersamaan RM28 juta pada 2018 lalu.

Paling mencuri tumpuan tentang Boakye sudah tentunya ketika bersama Elche FC pada 2013 apabila dia berjaya menjaringkan gol penyamaan semasa menentang Real Madrid dalam aksi La Liga sekali gus, menjadikan dirinya antara pemain Ghana yang disebut ramai ketika itu.

Jelas Boakye, dia mahu membantu Selangor dengan memberikan komitmen yang tinggi dan melakar lebih banyak sejarah bersama pasukan.

"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh, berikan komitmen yang besar kepada pasukan untuk mendapat kemenangan bersama. Bagi saya tanpa peminat, tidak wujudnya pasukan.

"Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripada peminat dan kelab. Untuk mencipta sejarah dan meninggalkan legasi," katanya.

Antara fakta menarik yang lain, dia juga nadi utama yang membantu Red Star Belgrade mara ke pusingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim 2018/2019 buat pertama kali selepas 27 tahun menyertai kejohanan itu.

Malah, Boakye juga adalah pemain kebangsaan Ghana bawah 20 tahun dan pasukan senior sehingga musim 2022. Dia juga sempat beraksi dalam dua aksi bersama pasukan Ghana di Kelayakan Piala Dunia CAF bagi membantu negaranya layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 5:28 PM