BOAKYE dapat melihat riak wajah Ronaldo yang terkejut melihat dirinya meledak gol penyamaan. FOTO Ihsan Selangor FC
BOAKYE dapat melihat riak wajah Ronaldo yang terkejut melihat dirinya meledak gol penyamaan. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ayam tambatan import baharu Selangor FC, Richmond Boakye mengakui kenangan paling indah dalam kariernya adalah apabila dapat membalas jaringan pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dalam aksi LaLiga pada 2013 lalu.

Boakye, 30, yang pernah beraksi untuk Elche FC di Sepanyol akui saat dapat memadamkan kelebihan Real Madrid yang dijaringkan Ronaldo adalah kenangan paling istimewa.

Katanya, dia dapat melihat riak wajah Ronaldo yang terkejut melihat dirinya meledak gol penyamaan untuk mengakhiri aksi dengan keputusan 1-1.

"Bermain menentang Real Madrid, dan menjaringkan gol ketika Cristiano Ronaldo menjaringkan gol…dan menjaringkan gol penyamaan dan melihat mukanya.

"Ia amat menyenangkan dapat menjaringkan gol ke atas Real Madrid terutama sekali dengan Cristiano Ronaldo yang selalu melakukan 'siuuuu'," katanya yang berasal dari Ghana.

Terdahulu, Selangor mengumumkan Boakye sebagai penggempur baharu pasukan pada jendela perpindahan kedua ini.

Reputasi Boakye bukan biasa-biasa di mana dia dilihat cukup tajam di depan gawang dengan mengumpul 109 gol sepanjang bergelar pemain profesional sejak 2010 dengan sebahagian besar beraksi di Serie A dan Serie B Liga Itali, LaLiga Sepanyol dan Liga Serbia.

Antara kelab yang pernah mendapatkan khidmatnya adalah Juventus, Genoa, Atalanta, Red Star Belgrade dan beraksi di Liga Super China bersama Jiangsu Suning dengan rekod perpindahan 5.5juta Euro atau bersamaan RM28 juta pada 2018 lalu.

Ujar Boakye lagi, sedia mencipta sejarah dan meninggalkan legasi yang cemerlang buat Red Giants.

"Saya ingat beri tahu kepada penyokong, tanpa mereka tidak akan wujudkan kelab dan. Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripada penyokong dan saya di sini, untuk menjadi sebahagian daripada kelab dan untuk mencipta sejarah dan meninggalkan legasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 2:54 PM