KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berbangga dengan sikap pemainnya yang cepat bangkit meskipun dibolosi dua gol awal dalam pertembungan Liga Super menentang Kelantan FC, malam tadi.

Cheng Hoe, 55 berkata, pemainnya yang cepat bangkit menjadi punca pasukan mampu meraih kemenangan besar yang mencipta rekod baru pasukan sepanjang musim ini.

Katanya, pemain menunjukkan disiplin yang baik sehingga mampu menjaringkan gol demi gol selepas menyamakan kedudukan di minit ke 32.

"Dua gol awal berpunca kita kurang fokus, keadaan padang juga agak licin tapi itu tak boleh dijadikan alasan.

"Kita juga tidak memandang rendah Kelantan, dan saya tak jangka kita menang besar," katanya ketika ditemui selepas perlawanan yang berakhir dengan keputusan Selangor 11-2 Kelantan.

Cheng Hoe berkata, pasukannya tidak boleh mengulangi kesilapan sama seperti awal permainan jika tidak mereka akan dihukum tewas kepada lawan seterusnya.

Beliau berkata, beliau memuji pemainnya yang hadir dengan mentaliti mahu menang selepas dikejutkan dengan gol awal tuan rumah.

Gandingan tiga serangkai, Ayron Del Valle, Richmond Boakye-Yiadom dan Faisal Abd Halim nyata menepati ramalan apabila menjadi watak pemusnah dengan masing-masing menyumbang dua (Faisal) hingga empat gol (Ayron) dan hatrik pertama bagi Boakye, musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 1:09 PM