NAFUZI juga masih belum boleh bersama pemain pada hari perlawanan kerana menjalani penggantungan. FOTO Ihsan KDA FC
NAFUZI juga masih belum boleh bersama pemain pada hari perlawanan kerana menjalani penggantungan. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa melalui misi sukar apabila dilihat seakan tempang dengan ketiadaan dua pemain utamanya apabila berdepan jaguh pantai timur Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super ke-15 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.

Tekanan yang dihadapi Sang Kenari itu diluahkan Ketua Jurulatih Sang Kenari Nafuzi Zain apabila kapten pasukan Manuel Ott dan pemain naturalisasi Lee Tuck akan terlepas peluang beraksi pada disebabkan menjalani penggantungan perlawanan.

Malah lebih terasa kesannya, Nafuzi sendiri juga masih belum boleh bersama pemain pada hari perlawanan kerana menjalani penggantungan tambahan tiga perlawanan bermula dengan aksi menentang Sabah pada 6 Jun lalu.

Justeru, skuad Sang Kenari yang kini menghuni kedudukan tangga keempat Liga Super dan mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Sabah FC dan Perak FC pada aksi lalu perlu mencari ramuan terbaiknya bagi mengatasi 'kekurangan' ketara agar tidak keciciran mata jika mahu kekal berada dalam kelompok teratas liga.

"Memang kita terasa dengan ketiadaan Manuel Ott, Lee Tuck dan juga saya sendiri dalam pasukan yang akan berdepan Terengganu pada 3 Julai ini dan ini adalah satu misi yang berat buat kami yang akan beraksi di tempat lawan kerana kita tahu mereka adalah satu pasukan yang hebat dan memiliki pemain berpengalaman.

"Kita juga tahu mereka (TFC) adalah satu pasukan yang susah untuk ditewaskan apabila beraksi di laman sendiri dan boleh lihat perkembangan persembahan mereka juga kini semakin meningkat dari segi keupayaan dalam liga.

"Perlawanan ini dijangkakan berbeza jika dibandingkan dengan keadaan semasa kali pertama kami menentang mereka di Stadium Darul Aman sebelum ini dan kita boleh lihat banyak peningkatan yang ditunjukkan mereka dalam aksi kebelakangan ini," katanya selepas tamat latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) petang semalam.

Jelas Nafzui lagi, bagi memastikan anak buahnya tidak keciciran mata sebaik memulakan kembali aksi liga ini, skuadnya perlu terus menggandakan lebih usaha bagi mendapatkan keputusan yang positif untuk memastikan kedudukan Kedah terus kekal tidak dipintas pasukan lebih bawah.

"Jadi kita perlu beri tugas ini pada pemain lain untuk memainkan peranan terbaik mereka bagi menggantikan posisi itu yang mana kita tahu pemain tempatan lain juga perlu membuktikan kemampuan mereka bersasarkan pengalaman yang mereka ada.

"Jika kita mahukan keputusan yang positif, maka kita perlukan kekalkan persefahaman yang baik serta terus fokus untuk memastikan pasukan mendapat keputusan yang positif," katanya.

Rekod kemenangan antara kedua-dua pasukan setakat ini memihak Kedah yang berjaya mencatat kemenangan 1-0 pada aksi pertama menentang TFC di Stadium Darul Aman pada 1 Mac lalu melalui gol yang dihasilkan Fadzrul Danel pada minit terakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 1:19 PM