LEE Tuck. FOTO Ihsan KDA FC
LEE Tuck. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain naturalisasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Tuck berazam memberi aksi terbaiknya bersama pasukan untuk membantu Sang Kenari kembali bangkit pada aksi Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Lee Tuck yang menjalani hukuman penggantungan bersama ketua pasukan, Manuel Ott ketika tewas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC), Isnin lalu berkata, tumpuannya kini adalah memastikan Sang Kenari kembali bangkit mendapatkan tiga mata penuh.

"Ia keadaan yang sukar buat saya yang sekadar melihat dari jauh apabila apabila kami tewas 0-1 kepada TFC pada Isnin lalu yang menyebabkan kami keciciran mata dalam saingan yang semakin sengit di kelompok pasukan teratas liga.

"Namun berbekalkan semangat selepas dapat kembali beraksi bersama pasukan pada aksi menentang PDRM FC kali ini, saya mahu memastikan setiap perancangan yang dirancang pasukan mampu memberi hasil yang positif sekali gus bangkit menghasilkan tiga mata yang kami idamkan pada perlawanan ini.

"Bagaimanapun saya tetap menganggap perlawanan menentang PDRM FC ini satu cabaran yang sengit buat kami selepas tewas pada aksi pertama sebelum ini dan ini membuat kami rasa lebih bersemangat," katanya selepas tamat latihan di Stadium Darul Aman petang semalam.

Tambah Lee Tuck lagi, beliau turut yakin dengan kemasukan dua pemain import baharu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede pada pertengah musim ini mampu memberi impak positif yang dicari Sang Kenari.

Menurutnya, kualiti dan pengalaman yang ada pada kedua-dua pemain itu dilihat akan membantu meningkatkan lagi tahap serta corak permainan yang dimahukan pasukan.

"Walaupun mereka tidak punyai banyak masa membentuk keserasian, namun mereka bekerja keras untuk cepat menyesuaikan diri sepanjang latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 1:01 PM