NAFUZI Zain. FOTO Syharim Abidin
NAFUZI Zain. FOTO Syharim Abidin
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain kagum dengan karakter kebangkitan yang dipamerkan pemainnya selepas bangkit mendapatkan kemenangan 2-1 pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman semalam.

Dua gol yang dihasilkan Sang Kenari melalui pemain naturalisasi, Lee Tuck pada minit ke-41 dan m-71 selepas Sabah FC menyumbat satu gol menerusi pemain importnya, Gabriel Perez di awal permainan ternyata cukup melegakan kem Sang Kenari yang meyasarkan kemenangan di laman sendiri untuk naik ke tangga keempat sebaik melengkapkan perlawanan ke-13 liga musim ini.

Menurut Nafuzi, persembahan meyakinkan yang ditunjukkan pemainnya sepanjang perlawanan untuk bangkit daripada kekecewaan kekalahan lalu membuktikan skuadnya kini semakin menunjukkan peningkatan.

"Apa yang pemain tunjukkan adalah semangat untuk bangkit dari kekalahan lalu ketika tewas kepada Selangor FC 2-3 dan pada malam ini (semalam) kami berjaya bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan ini.

"Saya rasa ini satu intesiti permainan yang tinggi yang ditunjukkan pemain dari awal hingga akhir perlawanan dan boleh dikatakan ia antara perlawanan terbaik pasukan dari segi penguasaan permainan dan mencipta peluang dalam memburu gol .

"Saya sedar ia bukan aksi yang mudah buat kami, namun pemain berjaya menunjukkan peningkatan demi peningkatan dengan komitmen yang baik," katanya selepas tamat aksi perlawanan di Stadium Darul Aman semalam.

Nafuzi juga berkata meskipun dibolosi satu gol seawal minit ke-7, skuadnya tidak mudah mengalah dan meneruskan misi mereka untuk memastikan tidak lagi keciciran mata seperti apa yang berlaku sebelum ini.

"Corak permainan kami sejak minit pertama perlawanan nampak meyakinkan saya, dan kita tahu Sabah FC mendahului kami menerusi sepakan bola mati namun dengan apa yang pemain tunjukkan, kami berusaha lebih baik untuk tidak memberi ruang kepada Sabah FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 12:10 PM