OTT harap pemain KDA FC terus beraksi dengan cemerlang walaupun selepas pemergian Lee Tuck. FOTO KDA FC
OTT harap pemain KDA FC terus beraksi dengan cemerlang walaupun selepas pemergian Lee Tuck. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Ott tidak menganggap laluan mudah apabila menentang Kuching City FC (KCFC) pada aksi Liga Super ke-18 di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

Kehilangan pemain naturalisasi, Lee Tuck seperti diumumkan pengurusan KDA FC, dua hari lalu menjadi cabaran baharu buat Sang Kenari dalam usaha mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga dengan 34 mata, ketika ini.

Kapten, Manuel Ott yang juga kuota import Asean berkata, Sang Kenari perlu lebih berwaspada dan turun dengan fokus melaksanakan perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

"Kami tidak memandang rendah Kuching City yang berada di tangga tercorot liga kerana setiap pasukan mampu melakukan kebangkitan.

"Tambahan pula, Kuching City sangat dahagakan kemenangan ketika ini dan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Jadi, kami tetap perlu beri tumpuan serta fokus yang tinggi tanpa mengira pasukan mana ditentang," katanya.

Meskipun tanpa Tuck, Ott mahu rakan sepasukan terus mengekalkan keyakinan serta tahap disiplin tinggi seperti ketika menang ke atas PDRM FC dan Kelantan United FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 9:14 PM