MANUEL Ott diumum kapten KDA FC. FOTO KDA FC
MANUEL Ott diumum kapten KDA FC. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan pemain import Manuel Ott sebagai kapten skuad Sang Kenari sebelum memulakan saingan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak malam ini.

Pengalaman Ott di pentas antarabangsa dengan penampilannya bersama skuad kebangsaan Filipina sejak 2010 amat berguna dalam memimpin pasukan Kedah.

Menurut pengumuman rasmi KDA FC semalam, pemain import posisi tengah berusia 30 tahun ini mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain bagi mengetuai skuad KDA FC.

"Menjelang aksi pembukaan Liga Super 2023 malam esok menentang Perak FC, barisan kejurulatihan diketuai Nafuzi Zain dan pengurusan pasukan Sang Kenari memutuskan pelantikan Manuel Ott sebagai kapten pasukan," katanya.

Turut diumumkan Sang Kenari adalah dua lagi tonggak utama pasukan iaitu pemain naturalisasi negara Lee Tuck yang turut berada di posisi tengah dan pemain tempatan Akmal Zahir di bahagian benteng.

"Manuel Ott akan mengetuai barisan pemain Sang Kenari musim ini dan akan dibantu oleh Lee Tuck dan Akmal Md Zahir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 4:43 PM