NAFUZI (kanan) memberi motivasi kepada barisan pemainnya ketika sesi latihan di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan KDA FC
NAFUZI (kanan) memberi motivasi kepada barisan pemainnya ketika sesi latihan di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berwaspada agar tidak 'digari' PDRM FC untuk kali kedua apabila bertemu pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Menurut ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain, kekalahan 0-1 di laman sendiri pada aksi pertama ketika menentang PDRM FC 4 Mac lalu menjadi pengajaran buat skuadnya agar lebih berhati-hati bagi diperangkap skuad Sang Saka Biru.

"Kita tahu aksi menentang PDRM FC di tempat lawan adalah aksi yang dijangka sengit dan tidak mudah berdasarkan prestasi mereka pada musim ini yang berada pada tahap terbaik dengan kemampuan melakar kejutan ke atas kami dan juga beberapa pasukan pilihan dalam Liga Super.

"Jadi bagi mengelak terperangkap untuk kali kedua, pemain perlu lebih fokus dan berdisiplin apabila turun beraksi dengan misi kali ini kita mahu tidak lagi keciciran mata," katanya selepas sesi latihan petang semalam di Stadium Darul Aman.

Nafuzi juga berharap skuadnya akan tampil lebih menyengat dengan kembalinya dua tonggak utama iaitu Manuel Ott dan Lee Tuck yang tidak beraksi pada perlawanan lalu kerana memenuhi hukuman penggantungan perlawanan.

"Persediaan pasukan berada pada tahap yang baik namun kami perlu terus fokus daripada segi mental dan juga fizikal disamping mengelak melakukan kesilapan mudah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nafuzi juga boleh menarik nafas lega apabila dua import baharu Sang Kenari iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede dilihat sudah bersedia dan memiliki peluang cerah untuk diturunkan apabila berdepan Sang Saka Biru.

"Kehadiran dua import baharu iaitu Ifedayo dan Moses bakal melengkap pasukan dan sekiranya mereka bersedia diturunkan pada aksi menentang PDRM FC, saya harap kita dapat memberi aksi lebih baik.

KDA FC kini berada di tangga keempat dengan mengumpul 28 mata selepas 15 perlawanan sementara PDRM FC pula di tangga kelapan dengan 22 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 11:33 AM