HABIB (kanan) mahu bangkit berdepan Kedah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin ini. -FOTO Ghazali Kori
HABIB (kanan) mahu bangkit berdepan Kedah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin ini. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Kuala Lumpur City FC (KL City FC), kapten Terengganu FC (TFC), Habib Haroon tekad mahu bangkit memburu kemenangan berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Isnin ini.

Jelas pemain kelahiran Bahrain itu, walaupun begitu pahit untuk ditelan selepas kekecewaan dalam aksi separuh akhir Piala FA itu, dia meletakkan harapan yang tinggi agar rakan sepasukannya juga dapat melupakan episod hitam itu untuk mengutip tiga mata sebagai penawar kedukaan.

Tambah pemain berusia 23 tahun yang sudah tiga musim bersama skuad Penyu, dalam sukan bola sepak macam-macam boleh berlaku, namun dia tidak mahu 'menangis' lagi di laman sendiri buat kali keempat musim ini selepas tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Sri Pahang FC dan KL City FC.

"Kekalahan kepada KL City tempoh hari begitu perit untuk ditelan lebih-lebih lagi kami beraksi di tempat sendiri dengan sokongan padu lebih 25,000 peminat setia yang membanjiri stadium.

"Bagaimanapun kami mahu melupakan episod malang itu untuk kembali fokus mengutip tiga mata pada aksi liga ini bagi memperbaiki kedudukan dalam carta.

"Saya menasihati diri dan rakan sepasukan agar berjuang habis-habisan selain berwaspada dengan taktikal lawan lebih-lebih lagi pada aksi pusingan pertama di tempat lawan kami tewas 1-0," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini dalam saingan liga, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu mengumpul 20 mata hasil 14 perlawanan dengan menghuni di tangga kelapan liga selepas merekod enam kemenangan dua seri dan enam kali tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:21 PM