MUHMMAD Syafik (kiri) idam tiga mata berdepan PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok. FOTO Ghazali Kori
MUHMMAD Syafik (kiri) idam tiga mata berdepan PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kekalahan 3-0 kepada skuad tanpa tonggak import, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dalam aksi pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada April lalu masih berbekas buat pemain Terengganu FC (TFC).

Justeru pertemuan pusingan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok, misi membalas dendam menjadi sasaran pemain skuad Penyu itu sekali gus memburu tiga mata.

Ini diakui pemain sayap meningkat naik, Muhammad Syafik Ismail, 22, yang tidak mahu episod kekalahan kedua kepada skuad The Phoenix itu berulang lagi lebih-lebih beraksi di tempat sendiri.

Pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu yang pernah menjalani latihan bersama pemain profesional di Old Trafford, Manchester United dalam Program Mencari Ramli pada 2016 juga tidak mahu episod kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Liga Super terus menghantui skuadnya selepas tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) di Paroi, Rabu lalu.

"Pertemuan kedua dengan PJ City FC menjadi peluang terbaik buat kami untuk mengutip tiga mata penuh lebih-lebih lagi beraksi di depan ribuan penyokong setia.

"Saya optimis rakan sepasukan mampu memberikan komitmen yang tinggi dan fokus sepanjang perlawanan dalam misi memburu kemenangan selepas gagal mengutip sebarang mata ketika berdepan NSFC.

"Buat peminat setia, sokongan padu daripada anda mampu menyuntik semangat kami ketika beraksi, ini kerana kemenangan begitu penting buat kami sebagai motivasi sebelum berdepan dengan Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala FA hujung minggu ini," kata pemain kelahiran kampung Kubu, Marang itu yang akui dia perlu perkemaskan lagi aksinya setiap kali diturunkan.

Skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain yang kini menghuni di tangga kelapan liga dengan mengutip 16 mata hasil sebelas perlawanan bakal menurunkan semula tonggak pertahanan importnya, Pape Diakite yang sebelum ini terpaksa berehat.

Selain itu, skuad itu juga dijangka bakal mempertaruhkan sekali lagi penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche untuk merobek kubu pasukan pelawat kendalian P Maniam manakala tiga lagi tonggak import, Manuel Ott, Habib Haroon dan Petrus Shetembi bakal menjadi nadi di jentera tengah pasukan.

Posisi terakhir berkemungkinan bakal menjadi milik penjaga gol muda berusia 21 tahun dengan ketinggian 1.92 meter, Muhammad Rahadiazli Rahalim manakala penjaga gol kedua digalas Mohd Suhaimi Husin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 6:15 PM