STEINBRUKNER akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya. FOTO Ihsan TFC
STEINBRUKNER akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas kehilangan enam mata sesudah tewas pada dua perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super, pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrukner tidak sesekali menekan butang panik.

Pengendali yang baharu musim pertama membimbing skuad Penyu itu menjelaskan masih terlalu awal buatnya untuk membuat penilaian mengenai prestasi keseluruhan pasukannya kerana pemainnya masih mencari rentak untuk merakam kemenangan.

Justeru jurulatih kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu percaya anak buahnya akan bangkit melakar kemenangan berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Jelasnya, bagi memastikan impian itu menjadi realiti, beliau akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya selepas dua aksi terdahulu tanpa sebarang mata dan jaringan selepas tumpas 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ini kerana beliau mahukan permulaan yang baik beraksi di tempat sendiri buat kali pertama pada musim ini selain menuntut anak buahnya mengambil peluang itu dengan melakar kemenangan selepas dua aksi terdahulu di tempat lawan berakhir dengan kedukaan.

"Kita dalam situasi mencari tiga mata pada aksi ketiga selepas tumpas dalam dua perlawanan berturut-turut, disebabkan itu saya percaya pemain akan memberikan yang terbaik di tambah sokongan padu daripada peminat setia.

"Fokus kita sekarang terarah untuk memperbaiki kelemahan yang ada dengan memastikan pemain lebih berdaya saing selain tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah buat pasukan.

"Jadi bagi mengelak kita kehilangan tiga mata lagi lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, saya akan melakukan sedikit rombakan dalam pasukan dengan meletakkan pemain yang betul-betul bersedia.

"Bagaimanapun Habib Haroon masih belum cergas dan dia perlu lengkapkan latihan sebelum menyertai pasukan, manakala penyerang Jordan Mintah akan diberi peluang bermain dalam masa terdekat, semalam dia (Mintah) beraksi dengan pasukan Liga Simpanan, jadi saya perlu melihat kuota pemain import terlebih dahulu sebelum diturunkan," katanya yang menuntut anak buahnya agar tidak tertekan berdepan naib juara Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim lalu itu.

Selepas dua perlawanan pasukan yang bakal bermain dalam pentas Piala AFC musim ini itu kini menghuni di tangga tercorot liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 1:25 PM