AKSI Mintah (kanan) ketika menentang Melaka FC pada perlawanan Piala FA bulan lalu.
AKSI Mintah (kanan) ketika menentang Melaka FC pada perlawanan Piala FA bulan lalu.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah mahu melupakan kekalahan terbesar kepada Selangor FC pada aksi kesembilan Liga Super minggu lalu.

Sebaliknya pemain kelahiran Ghana berusia 28 tahun itu tekad bangkit membalas kepercayaan barisan jurulatih dengan aksi lebih bertenaga berdepan pasukan jiran, Sri Pahang FC pada aksi kesepuluh liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.

Mintah turut mengharapkan aksi lebih baik diperagakan rakan sepasukannya dalam misi untuk mengutip tiga mata penuh.

Pada aksi menentang skuad The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu dibelasah 5-1 dan kekalahan itu yang paling teruk setakat ini selepas sembilan penampilan dalam saingan liga.

"Sekiranya diturunkan jurulatih, saya akan berusaha lebih gigih untuk menjaringkan gol awal bagi menyuntik semangat kami dalam misi untuk mengutip tiga mata lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

"Kami juga turut mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia kerana kehadiran mereka sudah pasti mampu menaikkan lagi semangat kami ketika beraksi.

"Kekalahan besar kepada Selangor FC tempoh hari kami mahu lupakan kerana perjalanan liga masih lagi panjang, yang penting kami perlu mengikut perancangan barisan jurulatih bagi memastikan misi untuk menang berhasil," katanya yang sudah mengumpul enam jaringan termasuk dua gol pada aksi pusingan kedua Piala FA ketika berdepan Melaka FC.

Selepas sembilan perlawanan, skuad Penyu kini menghuni tangga keenam liga dengan mengutip 13 mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) gah di persada liga dengan mengumpul 27 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 3:01 PM