BEK tengah Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar (kiri) azam  bangkit pada aksi Liga Super. FOTO TFC
BEK tengah Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar (kiri) azam bangkit pada aksi Liga Super. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan tengah Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar mahu melupakan episod duka gagal ke pentas final Piala FA, musim ini.

Sebaliknya pemain kelahiran Gombak berusia 23 tahun ini berikrar untuk bangkit memperbaiki kedudukan pasukannya dalam carta Liga Super walaupun sedar laluan berliku bakal dilalui.

Bekas bek tengah skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu berazam untuk memperbaiki mutu persembahannya selepas diberi tanggungjawab penting dalam skuad The Red Giants itu.

"Siapa tidak kecewa gagal menempah tiket ke final Piala FA, lebih-lebih lagi hanya selangkah lagi untuk merealisasikan impian itu dan ia bakal menjadi pentas pertama buat saya untuk memburu trofi itu.

"Namun nak buat macam mana kali ini bukan rezeki pasukan kami walaupun sudah memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan sehingga masa tambahan.

"Bagi baki perlawanan Liga Super, kami akan cuba perbaiki mana yang kurang untuk kembali bangkit memburu kemenangan sebagai pengubat duka sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta liga," kata bekas pemain kelab Marcerra United itu.

Pada aksi separuh akhir Piala FA, Sabtu lalu, The Red Giants tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Terengganu FC, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga masa tambahan.

The Red Giants yang berada di kedudukan kelapan liga dengan mengutip 16 mata hasil 13 perlawanan kini dibimbing penolong jurulatih, Nidzam Jamil yang bertindak sebagai ketua jurulatih sementara bagi menggantikan pengendali kelahiran Jerman, Michael Feichtenbeiner yang melepaskan jawatan susulan prestasi tidak konsisten skuad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 4:41 PM