PEMAIN Terengganu FC, Lee Tuck (tengah) membawa bola diasak pemain Kuching City FC, Rfiq Shah (kiri), Ahad lalu. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC, Lee Tuck (tengah) membawa bola diasak pemain Kuching City FC, Rfiq Shah (kiri), Ahad lalu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan meningkat naik, Kuching City FC (KCFC), idam untuk melakukan kejutan apabila bakal melayani kunjungan Perak FC pada aksi kedua saingan Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, malam esok.

Skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu mahu bangkit daripada episod kekalahan 0-2 pada aksi pertama kepada Terengganu FC (TFC), Ahad lalu.

"Atas kertas kami menghormati skuad Liga Super itu, namun misi kami tetap membara untuk memburu kemenangan sekali gus melakukan kejutan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

"Strategi berbeza berbanding ketika bertemu TFC dirancang, tapi pada masa sama kita juga perlu berwaspada bagi mengelak dijerat kerana pasti skuad itu mahu mengutip tiga mata selepas tumpas 1-0 pada aksi pertama berdepan Selangor FC.

"Saya harapkan barisan pemain yang diturunkan nanti dapat menyaingi kekuatan pemain lawan selain menuntut jentera tengah lebih kreatif mencipta gerakan manakala barisan penyerang dapat memanfaatkan peluang dengan jaringan," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang TFC Ahad lalu.

Sementara itu kapten pasukan, Joseph Kalang Tie mengajak rakan sepasukannya melupakan kekalahan pertama kepada TFC sebaliknya bangkit memperagakan aksi bertenaga bertemu Perak FC.

"Atas kertas sudah pasti kelebihan kepada skuad Liga Super itu walaupun bakal beraksi di pentas Liga Perdana musim depan, namun reputasi skuad itu juga tidak kurang hebatnya dalam pentas Piala Malaysia.

"Jadi bagi memastikan kami mampu meraih mata pertama, komitmen tinggi daripada rakan sepasukan ditagih walaupun pasti bukan tugas mudah untuk menyaingi skuad itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 2:33 PM