HABIB Haroon dan Liridon Krasniqi ketika sesi latihan menjelang aksi menentang Sabah FC. Foto TFC
HABIB Haroon dan Liridon Krasniqi ketika sesi latihan menjelang aksi menentang Sabah FC. Foto TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Sekalipun sesi latihan terjejas berikutan hujan berterusan, kapten Terengganu FC (TFC), Habib Haroon, tetap optimis pasukannya mampu memperagakan aksi terbaik berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super malam esok.

Jelas pemain kelahiran Bahrain itu, beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, ia bakal memberikan tonik tambahan buat pasukannya lebih-lebih lagi dijangka ribuan penyokong bakal hadir ke stadium.

Tambah pemain berusia 23 tahun itu, motivasi yang tinggi selepas mara ke pentas final Piala Malaysia pada musim ini bakal melonjakkan lagi semangat dan daya juang pemain untuk mengutip tiga mata penuh.

Bagaimanapun, pemain yang sudah tiga musim menyarung jersi TFC itu mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar berwaspada dengan ancaman skuad The Rhinos itu terutama mereka masih segar selepas membelasah Kelantan FC 7-0 pada Isnin lalu.

"Saya tidak nafikan kami tidak boleh menjalani latihan harian seperti biasa kerana sekarang musim tengkujuh melanda negeri Terengganu.

"Bagaimanapun, hujan bukan alasan buat untuk tidak menjalani latihan biarpun sedikit terjejas, sebaliknya barisan kejurulatihan sudah merangka pelan termasuk latihan di gimnasium.

"Jadi kami sudah bersedia untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri lebih-lebih lagi tempoh rehat yang panjang sebelum ini memberikan kesegaran kepada kami untuk beraksi lebih baik lagi," kata Habib yang mengharapkan peminat setia dapat membanjiri stadium.

Pada aksi Liga Super pusingan pertama di Stadium Likas Mei lalu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas TFC bangkit daripada ketinggalan dua gol hasil jaringan Sony Norde.

Berdasarkan kedudukan terkini, TFC menghuni tangga keenam liga dengan mengutip 36 mata manakala Sabah FC di tangga keempat (45 mata) menerusi 23 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 2:23 PM