ANTARA aksi Malaysia bertemu Thailand. FOTO FAM
ANTARA aksi Malaysia bertemu Thailand. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Impian skuad bawah 17 (B-17) tahun negara untuk beraksi di Piala Dunia akhirnya berkecai apabila tumbang 0-3 di tangan Thailand dalam aksi kedua Kumpulan A saingan Piala Asia B-17 di Stadium Pathum Thani, di Bangkok, malam tadi.

Kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut selepas tewas 0-4 kepada Yaman dalam aksi pertama, sekali gus gagal melepasi peringkat kumpulan pada kempen kali ini.

Sudah pasti ia satu tamparan yang hebat buat skuad kendalian Osmera Omaro yang diletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir kejohanan bagi meraih tiket ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.

Dalam aksi itu, skuad Gajah Perang nyata lebih dominan dengan melakukan serangan demi serangan ke kubu negara ketika skuad Harimau Muda dilihat lebih banyak bertahan bagi menyerap asakan tuan rumah.

Akhirnya gol yang dicari menjelma di hujung babak pertama menerusi ketua pasukan Thailand, Pacharaphol Lekkun untuk melegakan kem tuan rumah.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Pipob On-mo terus memberi tekanan ke kubu negara dan pasukannya berjaya menambah gol kedua hasil sentuhan pemain pertahanan, Chanasorn Choklap yang naik ke atas untuk melepaskan rembatan di minit 54.

Pemain negara cuba bangkit memburu gol namun Thailand terus mengukuhkan kedudukan dengan gol ketiga melalui ledakan Chanothai Kongmeng yang tidak dikawal di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang Teerapat Pruetong di minit 78.

Menerusi kemenangan itu, Thailand dan Yaman mengesahkan kemaraan ke suku akhir dari Kumpulan A.

Manakala, aksi terakhir antara Malaysia dan Laos pada Rabu ini hanyalah aksi pelengkap jadual, selepas kedua-duanya sudah tersingkir daripada saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 10:03 PM