PEMAIN negara cuba mengekang kelincahan pemain Arab Saudi. FOTO FAM
PEMAIN negara cuba mengekang kelincahan pemain Arab Saudi. FOTO FAM
Syazwan Msar


Shah Alam: Barisan kejurulatihan skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara perlu melakukan banyak kerja rumah berikutan pasukan muda tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Walaupun perlawanan terbabit boleh dikatakan sebagai medan ujian atau 'eksprimen' sebelum mengharungi Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand pertengahan bulan ini, namun skuad kendalian Osmera Omaro perlu bekerja lebih keras jika mahu memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan di pentas terbabit.

Pada aksi menentang Arab Saudi itu pasukan muda negara terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pelawat seawal minit kelima menerusi Nawaf Nasser Albishri untuk kedudukan 1-0.

Skuad negara cuba mengatur serangan ke kubu lawan dan gol penyamaan hadir pada minit terakhir separuh masa pertama menerusi Muhammad Dainei Mat Disa.

Babak kedua bersambung menyaksikan skuad B-17 negara dilihat kurang fokus sebelum Arab Saudi menyumbat gol kedua pada minit 47 yang dijaringkan Nawaf Nasser.

Kelekaan benteng pertahanan negara terus dihukum pasukan lawan apabila penyerang Arab Saudi Talal Abubakr Abdullah Haji menyumbat gol ketiga manakala Amar Hamed Alyuhaybi memastikan pelawat mendahului perlawanan dengan empat jaringan berbalas satu.

Kedudukan 1-4 kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan skuad muda negara tewas kali kedua pada perlawanan persahabatan apabila sebelum ini turut tumpas kepada Uzbekistan 2-3.

Sebagai rekod, skuad negara diundi dalam Kumpulan A di Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok bersama tuan rumah iaitu Thailand, selain Yaman dan Laos bagi kejohanan peringkat benua itu.

Pasukan yang berada kelompok empat terbaik di kejohanan itu bakal memperoleh slot untuk beraksi di Piala Dunia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:54 PM