LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyiasat premis medan selera di Jalan Kalong, Pudu, yang turut menyediakan pakej pelayan khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh berkata, siasatan akan dijalankan susulan serbuan oleh pihak polis di medan selera itu.

"Kita akan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang ada ke atas premis terbabit selepas siasatan dijalankan dan mendapati mereka melanggar syarat lesen yang dikeluarkan," katanya kepada Harian Metro.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan polis menyerbu sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong sebelum menahan 27 orang termasuk pelayan khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dilaporkan berkata, siasatan mendapati premis beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari sehingga 10 malam.

Menurutnya, premis menjalankan perniagaan berkonsepkan restoran dan kalung bunga serta menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dalam restoran.

"Harga kalungan bunga mengikut warna iaitu RM50 bagi kuning, oren (RM20) dan merah (10) di mana pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks dibawa ke bilik sewa di kediaman sebelah premis dengan bayaran RM100," katanya dipetik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:31 PM