PEMAIN B-17 negara meraikan jaringan ketika menentang Al Markhiyah SC B-17 malam tadi. FOTO FAM
PEMAIN B-17 negara meraikan jaringan ketika menentang Al Markhiyah SC B-17 malam tadi. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Lambaian Piala Dunia nampaknya makin jelas kelihatan buat skuad bawah 17 (B-17) tahun negara yang terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam siri jelajah di Qatar apabila melakar kemenangan keempat berturut-turut di sana.

Skuad kendalian Osmera Omaro yang diletakkan sasaran untuk melangkah ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini, berjaya membelasah Al Markhiyah SC B-17 7-0 dalam aksi persahabatan di Pusat Latihan Universiti Qatar, malam tadi.

Kemenangan itu diraih selepas turut menumbangkan Al Ghrafa B-18 dengan keputusan 4-1, meratah Umm Salal SC 5-0 dan menewaskan Al Arabia SC 4-2.

Menurut pengurus pasukan, Christopher Raj, kesemua 25 pemain yang dibawa ke Qatar sudah diuji oleh Osmera, dan bayangan skuad utama sedang dirangka sebelum beraksi di Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand, Jun ini, di mana empat slot ke Piala Dunia bakal menanti pasukan yang layak ke separuh akhir nanti.

"Kita sudah bermain beberapa perlawanan dan jurulatih Osmera sudah pun mencuba kesemua 25 pemain yang kita bawa, memberi peluang kepada semua pemain beraksi dan kita ada lagi dua perlawanan.

"Secara keseluruhan pemain walaupun bermain dalam bulan Ramadhan, mereka terap bekerja kuat. Mereka punyai semangat tinggi dalam latihan pusat ini," katanya ketika dihubungi.

Selepas ini, skuad Harimau Muda ini dijadual menentang Al Duhail B-17 serta Akademi Aspire B-17 yang diiktiraf sebagai sebuah akademi terbaik di dunia yang menghimpunkan ramai pemain berbakat dari seluruh pelusuk dunia.

Di Bangkok nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand, Laos dan Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 2:42 PM