Keadaan treler yang mengalami kerosakan pada bahagian hadapan akibat melanggar sekumpulan lembu melintas jalan. Foto Ihsan IPD Alor Gajah
Keadaan treler yang mengalami kerosakan pada bahagian hadapan akibat melanggar sekumpulan lembu melintas jalan. Foto Ihsan IPD Alor Gajah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Pemandu syarikat pengangkutan berdepan detik cemas apabila treler dipandu merempuh mati enam ekor lembu serentak di Jalan Cherana Putih, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tadi, pemandu terbabit, Abdul Mutalib Mazlan,33, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bukit Tampin, Tampin, Negeri Sembilan selepas menghantar muatan kayu palet di Pelabuhan Klang, Selangor.

Abdul Mutalib berkata, kejadian berlaku apabila sekumpulan lembu melintas ke tengah jalan dari kawasan semak secara mendadak.

"Saya terkejut dan hanya mampu mengucap panjang sambil menekan brek.

"Disebabkan jaraknya yang terlalu dekat, saya tidak sempat mengelak dari melanggar kawanan lembu itu. Mujur saya tidak cedera dan treler tidak terbalik," katanya dihubungi Harian Metro.

Abdul Mutalib berkata, dia bersyukur terselamat daripada sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan pihaknya menerima laporan kemalangan itu dan sudah merakam percakapan pemandu terbabit.

Katanya, pemandu treler hadir di Balai Polis Trafik Alor Gajah pada jam 9.12 pagi tadi dan siasatan mendapati terdapat enam ekor lembu mati di atas jalan.

"Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah hadir membantu operasi mengalihkan bangkai enam lembu di lokasi kemalangan.

"Polis meminta mana-mana saksi bebas tampil memberi keterangan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:33 PM