GISBH dan Persatuan Haiwan Malaysia meraikan rakan media sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional. FOTO NSTP
GISBH dan Persatuan Haiwan Malaysia meraikan rakan media sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Rawang: Lebih 50,000 dijangka hadir pada Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE 2024) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dianjurkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada 1 hingga 4 Ogos depan.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali berkata, ekspo berkenaan disokong dan mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan dan badan pelancongan negeri Melaka.

Beliau berkata, IITTE boleh menjadi platform global yang menghubungkan perdagangan halal dan industri pelancongan.

"Kami membayangkan ekspo ini sebagai platform untuk memupuk persahabatan, menggalakkan kunjungan bersama, mempromosikan cara hidup Islam dan tijarah (perniagaan). IITTE 2024 juga bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

"Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah memberikan kesediaan beliau untuk merasmikan ekspo itu dengan menekankan kepentingan dalam memupuk perdagangan antarabangsa dan pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan wakilnya Pegawai Pentadbiran dan Perniagaan GISBH Mohd Shukri Mohd Noor pada majlis GISBH dan Persatuan Haiwan Malaysia meraikan rakan media sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional, di ibu pejabat GISBH, di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Ras Adiba Radzi dan Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika.

Sementara itu, Nasiruddin turut menyatakan penghargaannya kepada pihak media yang meneruskan peranan penting tanpa penat lelah kepada masyarakat.

"Wartawan mempunyai peranan yang penting di dalam masyarakat, di antaranya memberikan berita dan maklumat terkini kepada masyarakat umum.

"Mereka melaporkan peristiwa penting dan perkembangan terkini dalam pelbagai bidang, seperti politik, ekonomi, budaya dan lain-lain.

"Wartawan juga bertindak sebagai pemeriksa terhadap kerajaan dan institusi lain, memastikan mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka. Siasatan kewartawanan sering mendedahkan kes rasuah, salah guna kuasa dan pencabulan hak asasi manusia," katanya.

Katanya, melalui laporan dan artikel disiarkan, wartawan membantu mendidik orang ramai isu-isu penting, menyediakan konteks dan analisa yang membantu orang ramai memahami sesuatu situasi yang kompleks.

"Kewartawanan yang baik boleh menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi dengan mempromosikan isu pembangunan, menyebarkan inovasi, dan memberi suara kepada mereka yang kurang didengari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 5:20 PM